Datuk Seri Ahmad Maslan.
Datuk Seri Ahmad Maslan.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Isu mengenai tempoh memegang jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi penggal 2018-2021 yang sudah tamat adalah tidak berbangkit.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pentafsiran diberikan Peguamcara Umno terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan Umno adalah dengan jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan Umno adalah kuasa mutlak MKT dan parti itu hanya perlu memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Katanya, rentetan daripada surat menyurat antara Umno dan JPPM, wujud harapan yang sah oleh parti itu kepada jabatan terbabit untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti.

"Dimaklumkan bahawa mesyuarat MKT secara bersemuka yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu), Janda Baik, Bentong, Pahang bertarikh 19 Februari 2021 menetapkan untuk menangguhkan pemilihan Umno.

"Mesyuarat MKT secara bersemuka pada 25 April 2021 di Aras 39, Menara Dato Onn, MKT membuat keputusan untuk merujuk kepada pihak JPPM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan pandangan berkenaan menjalankan mesyuarat dan pemilihan parti dalam suasana pandemik Covid-19 di Malaysia.

"Sehubungan itu, Umno mempertimbangkan pandangan yang diberikan JPPM melalui surat bertarikh 2 Jun 2021surat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 10 Mei 2021dan surat daripada Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara bertarikh 11 Jun 2021," katanya pada sidang media khas hari ini.

Beliau berkata, MKN dan KKM mengesyorkan bahawa sekiranya pemilihan secara maya adalah tidak dapat dilaksanakan, maka penangguhan patut dibuat untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan ia dimaklumkan kepada ahli-ahli MKT.

Menurutnya, MKT membuat keputusan menangguhkan pemilihan untuk tempoh 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno melalui surat bertarikh 24 Jun 2021.

"MKT sudah membuat keputusan secara majoriti melalui resolusi pekeliling dan dalam menjalankan kuasanya menurut Fasal 10.16 yang bersetuju menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

"Perlembagaan Umno tidak menyebut secara khusus berkenaan dengan kaedah untuk MKT membuat sesuatu keputusan. Oleh itu, keputusan MKTdibuat berdasarkan suara majoriti, 52 daripada 56 Ahli MKT bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, mesyuarat MKT secara bersemuka tidak dapat diadakan pada Jun 2021 kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh akibat pandemik Covid- 19.

Katanya, JPPM juga memperakui penerimaan surat Umno bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat bertarikh 19 Julai 2021 yang antara lain telah menyatakan bahawa tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti Umno dan ia mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan Umno.

"Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada pihak JPPM melalui surat bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.

"Umno berharap dengan penjelasan ini, maka polemik ini dapat diselesaikan.

"Tambahan lagi, dengan kes Covid-19 yang tinggi mencecah sekitar 20,000 kes sehari menambah lagi kesukaran untuk mesyuarat perwakilan dan pemilihan diadakan dengan pembabitan 3.3 juta orang ahli dan 66,287 jumlah mesyuarat perwakilan Umno di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:42 PM