GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan tiga Pegawai Undang-Undang Pulau Pinang termasuk seorang ketua jabatan kerana dipercayai terbabit kes rasuah.

Dalam operasi SPRM itu, tangkapan pertama dibuat di sebuah hotel di Pulau Pinang pada 12.15 tengah hari semalam membabitkan seorang suspek berusia 42 tahun.

Berikutan itu, dua lagi suspek berusia 29 dan 52 tahun ditahan di Pejabat SPRM Kedah antara 10.15 malam hingga jam 10.38 malam tadi.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek terbabit meminta wang rasuah berjumlah RM500,000 dan menerima RM100,000 daripada seorang orang awam bagi memastikan kes komersial yang dilaporkan orang awam itu dituduh di mahkamah.

Pihak SPRM turut melakukan pemeriksaan di kediaman dan pejabat ketiga-tiga suspek sebelum menemui sejumlah wang.

Ketiga-tiga suspek dijangka direman di Mahkamah Alor Setar pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan meminta orang ramai yang menjadi mangsa kegiatan berkenaan tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 12:15 AM