Operasi di KLIA kembali pulih seperti biasa selepas mengalami gangguan teknikal sejak Rabu lalu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Operasi di KLIA kembali pulih seperti biasa selepas mengalami gangguan teknikal sejak Rabu lalu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai Rabu lalu disebabkan perbuatan berniat jahat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh.

“Walaupun gangguan rangkaian ini berlaku beberapa hari lalu, kami memberi jaminan kepada orang awam iaitu aspek keselamatan di lapangan terbang masih utuh.

“Ini adalah kerjasama rapat diberikan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sementara kami memperluaskan bantuan yang mungkin kepada syarikat penerbangan dalam tempoh itu, bantuan, kerjasama dan pemahaman juga diberikan kepada kami oleh syarikat,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, rangkaian di KLIA dalam keadaan stabil dan pihaknya kekal komited untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan akan terus memantau situasi serta memastikan operasi berjalan lancar.

Mengulas lanjut, Raja Azmi berkata, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan yang bersama serta menyediakan penyelesaian terbaik.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penumpang dan orang ramai atas kesabaran dan kefahaman mereka.

“Jika memerlukan bantuan boleh bertemu petugas ‘Airport Care Ambassadors’,” katanya.

Sebelum ini, Raja Azmi dilaporkan berkata, masalah gangguan sistem dialami di KLIA sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Beliau dipetik berkata, sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

Menerusi kenyataan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini memaklumkan, tiada aktiviti serangan siber dikesan setakat ini susulan insiden gangguan teknikal di KLIA.

NACSA memaklumkan siasatan awal yang dilaksanakan oleh MAHB mendapati kejadian itu disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:23 PM