GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menahan 10 lelaki termasuk penganjur lumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, semalam.

Polis menerima maklumat mengenai perlumbaan haram antara Geng Klang dan Geng Kampung Jawa membabitkan pertaruhan RM10,000 yang akan diadakan di Lebuhraya Selat Klang pada jam 12 tengah malam.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman ke lokasi.

"Anggota berjaya menahan empat suspek iaitu seorang penunggang motosikal dan tiga lelaki yang terbabit pengurusan pertandingan atau ujian kelajuan itu.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas wang tunai sebanyak RM5,500 daripada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, polis turut mengesan tiga lelaki melakukan aksi bersaing sesama sendiri, meniarap (superman) dan zig-zag di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) jam 12.40 tengah malam.

"Perbuatan itu dilakukan bermula dari Plaza Tol Kemuning sehingga Kilometer (KM) 29.6 Kesas arah Kuala Lumpur.

"Kesemua suspek ditahan ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite)," katanya.

Mohd Nadzri, pasukan kemudian mengesan dan menahan tiga lagi suspek yang melakukan aksi berbahaya di lebuh raya sama pada jam 12.45 tengah malam.

Beliau berkata, suspek dilihat melakukan aksi itu sebanyak dua pusingan di KM 24.6 Lebuhraya Kesas dekat susur Jalan Kebun sehingga ke KM20.3 dekat susur Bandar Puteri sebelum ditahan ketika berhenti di hadapan sebuah rumah di Jalan Kebun.

Katanya, kesemua 10 suspek berusia 17 hingga 35 tahun itu ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Shah Alam, Klang Selatan dan Klang Utara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 dan Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 10:56 PM