Enam penunggang motosikal melakukan aksi superman, zig-zag dan berlumba sesama sendiri di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ditahan polis dan turut dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Enam penunggang motosikal melakukan aksi superman, zig-zag dan berlumba sesama sendiri di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ditahan polis dan turut dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan enam penunggang motosikal melakukan aksi merbahaya dan berlumba di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) mengundang padah apabila ditahan polis dan dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang berada di Lebuhraya Kesas melihat sekumpulan penunggang melakukan aksi terbabit bermula dari Kilometer (KM) 27.4 Plaza Tol Kemuning sehingga ke KM 31.5 susur Sri Muda dan kemudian berpatah balik menghala ke arah Klang melalui Susur Shah Alam-Puchong (Hicom).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, mereka kemudian melakukan aksi yang sama bermula dari KM 31 Susur Kota Kemuning sehingga ke KM 27.8 Plaza Tol Kemuning.

Menurutnya, pada jam 10.40 malam, suspek memberhentikan motosikal dalam keadaan baik dan selamat di hadapan rumah di Lorong Abdullah 7, Jalan Kebun, Klang, Selangor.

"Pasukan tangkapan menghampiri tiga suspek sebelum menahan mereka.

"Pada jam 10.40 malam juga ketika pasukan tangkapan berada di Lebuhraya Kesas arah ke Kuala Lumpur melihat dan mengekori sekumpulan motosikal yang melakukan melakukan aksi menundukkan badan, aksi bersaing sesama sendiri dan aksi zig-zag bermula dari KM 27.3 Plaza Tol Kemuning sehingga di KM 29.5 Susur Shah Alam Lebuhraya Kesas arah ke Kuala Lumpur di mana aksi itu amat merbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, tiga lelaki kemudian memberhentikan motosikal dalam keadaan baik dan selamat di hadapan rumah di Jalan Bilal Wondo, Padang Jawa, Klang, Selangor jam 11.42 malam sebelum ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Semua enam lelaki berusia 18 hingga 23 tahun itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Shah Alam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 37 saman dikeluarkan dalam operasi itu," katanya.

Beliau berkata, mereka juga dikompaun masing-masing RM2,000 kerana melakukan kesalahan keluar tanpa tujuan munasabah, berkumpul di tempat awam bertujuan lumba haram dan tiada penjarakan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 1:55 PM