MOHAMAD Fadly menyerahkan tablet kepada Keifli. FOTO ihsan Mohamad Fadly Mohd Zain
MOHAMAD Fadly menyerahkan tablet kepada Keifli. FOTO ihsan Mohamad Fadly Mohd Zain
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana anak saya dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan baik dengan sumbangan tablet ini," kata ibu tunggal, Aslinda Abdullah, 43.

Anaknya, Keifli Wak Abdullah, 14, hari ini menerima sumbangan sebuah tablet bagi memudahkan proses PdPR daripada badan bukan kerajaan (NGO), Intelek Muda Nasional.

Aslinda berkata, dia dan anaknya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diberikan oleh semua pihak.

"Kegembiraan anak saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan saya sebagai ibu sangat bersyukur kerana diberikan rezeki ini terutamanya untuk anak saya.

"Kami juga menerima kunjungan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan pihaknya juga memberikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada kami," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kesukaran hidup Aslinda yang terpaksa mengutip tin kosong sebelum dijual demi sesuap nasi.

Aslinda berkata, LZS turut menguruskan pemindahan dia dan anak ke rumah sewa baharu yang lebih selesa serta menyelesaikan deposit serta sewa bulanan.

"Bukan itu saja, saya bersyukur apabila bantuan kewangan bulanan kami juga dinaikkan daripada RM400 hingga RM500 sebulan,

"Saya sangat menghargai segala bantuan yang diberikan dan saya terharu sangat dengan kebaikan setiap individu yang membantu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Intelek Muda Nasional, Mohamad Fadly Mohd Zain berkata, tablet yang disumbangkan itu adalah hasil dana terkumpul daripada orang awam.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mengumpulkan dana bagi membantu ibu tunggal berkenaan.

"Intelek Muda Nasional juga akan membantu Aslinda untuknya mendapatkan rawatan susulan bagi merawat masalah kesihatannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 8:29 PM