Nur Quratul Aini Mohamad ALi, 23, (kanan) memberi ubat mata kepada ibunya, Mardyah Md Radi, 47, di kediaman mereka di Simpang Ampat, hari ini. FOTO BERNAMA
Nur Quratul Aini Mohamad ALi, 23, (kanan) memberi ubat mata kepada ibunya, Mardyah Md Radi, 47, di kediaman mereka di Simpang Ampat, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bukit Mertajam: Seorang ibu tunggal yang mengalami kecacatan sebelah mata, berhajat untuk bertemu semula dengan anak kandung lelakinya sebelum dia kehilangan pancaindera sepenuhnya atau menghembuskan nafas terakhir.

Mardyah Md Radi, 47, yang disahkan mengalami buta mata kiri pada 2006, terpaksa menyerahkan anak bongsunya, Muhammad Zulfikar kini berusia 18 tahun kepada keluarga angkat dipercayai tinggal di Sungai Petani, Kedah, selepas menghadapi desakan hidup.

"Saya menyesal…saya terpaksa memberikan bayi saya yang ketika itu berusia dua bulan kerana saya tiada wang untuk menjaga mereka. Saya masih ingat ketika itu, saya terpaksa memberikan air teh kepada anak saya sebagai pengganti susu kerana tiada wang untuk membeli susu.

"Saya tidak begitu mengenali keluarga itu secara peribadi namun rakan baik saya berkata keluarga berkenaan memberi jaminan untuk menjaga anak saya dengan baik.

"Saya tidak memerlukan balasan wang ringgit asalkan anak saya dijaga dengan baik dan diberi pendidikan yang sempurna supaya di masa hadapan, mereka tidak akan susah seperti saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Simpang Ampat di sini.

Mardyah berkata, pada 2003, dia baru sahaja diceraikan bersama empat anak iaitu Muhammad Ramadhan Badrulamin Mohammad Ali, 6; Nur Quratul Aini Mohamad Ali, 5; manakala yang ketiga Siti Rabiatul Adawiyah, 5; dan Muhammad Zulfikar berusia dua bulan ketika itu, terpaksa diserahkan kepada dua keluarga angkat yang berbeza, akibat kemiskinan.

"Saya bersyukur, kini anak ketiga saya kembali ke pangkuan keluarga dan menetap bersama bekas suami setelah ibu angkatnya meninggal dunia. Saya sudah jumpa anak perempuan saya itu, kini saya berdoa agar dapat berjumpa dengan anak bongsu… sekali pun cukuplah," katanya.

Mardyah yang bekerja dan menetap di Sungai Petani sebelum ini, kembali tinggal bersama orang tuanya di Simpang Ampat, Pulau Pinang bersama anak sulung.

"Saya berniaga makanan seperti kuih-muih, pisang goreng dan pelbagai lagi sehingga diserang demam campak pada 2006 dan menjejaskan penglihatan saya… keadaan bertambah teruk sehingga saya buta sebelah mata," katanya.

Mardyah yang kini tidak dapat bekerja terpaksa menghentikan rawatan matanya kerana tidak mampu menanggung kos rawatan dan menjalani pembedahan mata.

Kini, kos sara hidup keluarga itu bergantung kepada Aini setelah dia tidak lagi mampu bekerja.

Bekalan elektrik rumah keluarga itu juga telah dipotong beberapa tahun yang lalu kerana mempunyai tunggakan bayaran sebanyak RM1,500 dan kini 'menumpang' bekalan elektrik dari rumah jiran, katanya.

Kisah Mardyah mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Intelek Muda Nasional, yang kini sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan zakat bernilai RM750 sebulan.

Pengarah Komunikasi dan Media Intelek, Erni Zawawi berkata pihaknya telah berhubung dengan pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan didapati Mardyah telah diberhentikan daripada mendapat zakat kerana pendapatan keluarga melebihi RM850 sebulan.

"Bantuan zakat telah dihentikan pada Disember 2020 namun ZPP bersetuju untuk turun padang dan nilai semula kes Puan Mardyah dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, Intelek Muda Nasional turut memberikan bantuan bekalan makanan dan kewangan kepada keluarga ini supaya mereka tidak terputus bekalan makanan ketika masa yang sukar ini," katanya.

Selain itu sekiranya ada mana-mana pihak yang mengetahui mengenai keluarga angkat itu bolehlah menghubungi anaknya di talian 016-7832490.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:08 PM