KANAK-kanak seronok ikuti aktiviti program amal ‘Kita Sekeluarga Bertemu di Long Busang’.
KANAK-kanak seronok ikuti aktiviti program amal ‘Kita Sekeluarga Bertemu di Long Busang’.
SUKANEKA berlangsung meriah di rumah panjang Long Busan.
SUKANEKA berlangsung meriah di rumah panjang Long Busan.
SEBAHAGIAN penduduk beragama Islam bergambar kenangan bersama peserta di Masjid Rahmah.
SEBAHAGIAN penduduk beragama Islam bergambar kenangan bersama peserta di Masjid Rahmah.
PESERTA sanggup meredah perjalanan lapan jam bagi menjayakan misi amal.
PESERTA sanggup meredah perjalanan lapan jam bagi menjayakan misi amal.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Sekumpulan sukarelawan sanggup meredah sungai selama empat jam dari Pekan Kapit sebelum meneruskan empat jam lagi perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda demi melaksanakan misi ‘Kita Sekeluarga Bertemu di Long Busang’ di Sarawak, baru-baru ini.

Program amal enam hari lima malam itu dianjurkan Pertubuhan IKRAM Daerah Sibu dengan kerjasama IMAM Response & Relief Team (IMARET) dan Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB) bagi mendekati komuniti masyarakat Kenyah yang tinggal di rumah panjang Long Busang, sebuah kawasan di pedalaman daerah Belaga.

Pengarah program, Zurina Ain Ibrahim berkata, program berkenaan diadakan bagi menyelami kehidupan masyarakat di kawasan terbabit yang majoritinya beragama Islam sambil menghulurkan bantuan dan memberi bimbingan agama melalui guru yang dibawa bersama.

“Peserta juga ditempatkan sebagai anak angkat kepada keluarga terpilih untuk merasai kehidupan masyarakat Kenyah.

“Pada masa sama, kita turut mengadakan pemeriksaan kesihatan untuk penduduk kampung kerana ada kalangan sukarelawan yang bertugas sebagai doktor,” katanya.

Pelbagai aktiviti lain turut diatur membabitkan golongan wanita, remaja dan kanak-kanak bagi mengeratkan hubungan antara peserta program dengan masyarakat.

“Setiap program mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk termasuk sukaneka yang diadakan meriah di kawasan rumah panjang terbabit.

“Kami juga sempat mengadakan kenduri secara gotong-royong bersama penduduk beragama Islam di Masjid Rahmah dan menyerahkan sumbangan ‘kit solat’ kepada semua 62 keluarga Islam yang tinggal di situ,” katanya.

Peserta, Shafiq Azli Mohd Salleh berkata, dia begitu terharu dengan layanan mesra yang diberikan oleh keluarga angkat dan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Paling menarik, kami turut dibawa menaiki perahu panjang milik keluarga angkat masing-masing menuju ke Sungai Tanyit iaitu sebuah kawasan air terjun yang indah dan menikmati ikan segar yang ditangkap,” kata guru dari Sekolah Kebangsaan Lubok Mawang, Kapit ini.

Ternyata, biarpun terpisah dengan hutan belantara, namun masyarakat suku kaum Kenyah masih lagi kental iman mereka dan Pertubuhan IKRAM Sibu amat berharap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain terutamanya yang aktif berdakwah dapat mendekati mereka bagi membimbing dan memberi sokongan kepada penduduk Long Busan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:29 AM