GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Mohd Roji Kawi


Lundu: Seramai 1,552,944 penduduk Sarawak sudah menjalani proses imunisasi Covid-19 setakat semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah itu, 1,226,659 menerima dos pertama manakala 326,335 pula sudah melengkapkan dua dos.

"Kami sedang berusaha mempercepatkan proses vaksinasi dan akan meningkatkan kemampuan suntikan sehingga 60,000 sehari

"Semalam sahaja, Sarawak memvaksin 56,068 orang. Sarawak kini memiliki 313 Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya pada sidang media selepas mengunjungi PPV di Pusat Sivik Lundu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daripada 313 PPV, 68 adalah pusat vaksinasi awam, 84 klinik swasta, 51 klinik kerajaan, 24 hospital, 35 pusat vaksinasi industri, 12 hospital swasta, 36 pusat vaksinasi bergerak, dua Pusat AstraZenneca dan pusat vaksinasi universiti.

"Selain itu, kita juga dibantu oleh pasukan perubatan medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di beberapa lokasi di Lawas, Miri dan Kapit.

"Dengan penyertaan ATM, proses imunisasi mencapai kemajuan yang amat baik," katanya.

Selain itu, katanya, Sarawak turut memohon penambahan jumlah penghantaran vaksin ke negeri ini dipertingkatkan kepada 430,000 seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:53 PM