BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Bakul Prihatin Negara bukan sekadar pemberian bantuan makanan malah merupakan pencetus dan permulaan untuk menyelami pelbagai masalah serta isu masyarakat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

"Pihak kami bukan sekadar mengedarkan bakul makanan tetapi juga melihat masyarakat dengan lebih dekat dengan rata-ratanya tidak mempunyai pekerjaan. Kita juga dapat melihat kes-kes tertentu yang boleh saya rujuk kepada pihak berkaitan bagi membantu berdasarkan keperluan mereka.

"Ini (bantuan) bukan sekadar bakul makanan tetapi mempunyai makna yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu kepada lima pemohon di kawasan Lembah Klang, di sini hari ini.

Rina berkata kementeriannya juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan bagi membantu rakyat berdasarkan keperluan mereka.

Rina bercakap kepada wartawan selepas mengagihkan Bakul Prihatin Negara di Taman Setapak Jaya. FOTO ASYRAF
Rina bercakap kepada wartawan selepas mengagihkan Bakul Prihatin Negara di Taman Setapak Jaya. FOTO ASYRAF

"Kita tidak boleh bekerja sendirian...sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak. Kalau ada yang memerlukan bantuan perniagaan, kita akan rujuk dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata pengagihan Bakul Prihatin Negara akan turut disertai kaunselor yang akan memainkan peranan membimbing dan memotivasikan penerima bantuan dalam menghadapi keadaan sukar ketika ini.

Sementara itu, Rina berkata setakat semalam, seramai 314,749 individu memohon bantuan Bakul Prihatin Negara kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak permohonan dibuka pada 19 Julai lalu.

Katanya, bantuan sudah diagihkan kepada 11,740 penerima melibatkan 40,410 isi rumah di seluruh negara.

Beliau turut menyeru sektor korporat untuk turut sama menyumbang kepada Bakul Prihatin Negara bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Rina berkata hingga kini, lima syarikat korporat telah menyumbang sejumlah RM16 juta kepada program itu bagi menyokong usaha berkenaan, iaitu Petronas, AEON Co (M) Bhd, Pharmaniaga Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia.

"Keprihatinan syarikat-syarikat korporat yang telah tampil untuk menyokong usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19 amat dihargai dan diharap menjadi galakan kepada syarikat-syarikat lain untuk turut menyumbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 5:43 PM