Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Kurang 24 jam, 4,027 permohonan bantuan diterima daripada orang ramai sebaik sahaja program Bakul Prihatin Negara dilancarkan semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, daripada jumlah itu, 1,929 permohonan diterima melalui panggilan ke Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

Kata Rina, 1,359 permohonan lagi diterima melalui Talian Kasih 15999 dan 739 permohonan lagi diterima melalui aplikasi WhatsApp.

"Kita jangkakan jumlah permohonan akan meningkat daripada semasa ke semasa.

"Sebahagian besar pemohon dalam kalangan individu yang hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan tetap untuk menyara diri serta keluarga iaitu golongan yang terkesan akibat pandemik," katanya pada sidang media hari ini.

Rina sebelum itu turun padang menyantuni dan menyampaikan sendiri bakul makanan kepada dua pemohon iaitu Safrizal Muim, 62, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal, Low Pui Fun, 47, masing-masing di Kampung Datuk Keramat dan Seksyen 2 Wangsa Maju di sini.

Turut hadir pemangku Ketua Pengarah JKM Fatimah Zuraidah Salleh.

Rina berkata, permohonan untuk mendapatkan bakul makanan ini terbuka kepada semua golongan masyarakat yang terjejas dan benar-benar memerlukan bantuan makanan.

"Sebaik sahaja program Bakul Prihatin Negara dilancarkan semalam, kita tidak menunggu lama dan hari ini, kita mengambil tindakan proaktif dengan mengedarkan bakul-bakul makanan kepada pemohon.

"Kita memudahkan bantuan kepada pemohon tanpa perlu kita membuat semakan ke atas semua permohonan itu terlebih dahulu. Pemohon hanya perlu berikan butiran lengkap dan perakuan.

"Namun kita berharap rakyat menjadi pemohon yang bertanggungjawab. Sekiranya tidak benar-benar memerlukan bantuan, tidak perlulah memohon," katanya yang turut menjelaskan hanya satu permohonan untuk satu keluarga dibenarkan pada masa ini.

Warga emas menerima Bantuan Bakul Prihatin dari Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. FOTO FATHIL ASRI
Warga emas menerima Bantuan Bakul Prihatin dari Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. FOTO FATHIL ASRI

Mengulas lanjut, Rina berkata, urusan penyampaian bantuan bakul makanan melalui pogram Bakul Prihatin Negara ini diselaraskan Skuad Prihatin Negara di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, program ini adalah kesinambungan daripada pakej rangsangan oleh kerajaan sebelum ini seperti Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sehingga sekarang, kerajaan melalui JKM sudah mengagihkan lebih 1.5 juta bakul makanan.

"Program Bakul Prihatin Negara ini adalah inisiatif Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang tidak mahu ada rakyat yang tiada makanan untuk dihidangkan di atas meja," katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada syarikat untuk menyumbang dalam program ini dan setakat ini, sumbangan RM16 juta sudah diterima daripada pelbagai syarikat korporat.

Sementara itu, Fatimah Zuraidah berkata, pemohon boleh mengemukakan permohonan melalui pelbagai medium yang disediakan, antaranya menghubungi Bilik Gerakan JKM di 108 daerah di seluruh negara.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp permohonan ke 019-2615999.

"Selain itu, permohonan boleh dikemukakan melalui media sosial rasmi iaitu Facebook, Twitter dan Instagram Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan JKM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 8:31 PM