JEMAAH mematuhi SOP ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
JEMAAH mematuhi SOP ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Semua amalan kesihatan perlu diteruskan sebaiknya penduduk di negara ini untuk bersama bergerak keluar dari kemelut jangkitan Covid-19 terutama tahap teruk kategori 3, 4 dan 5 yang memerlukan rawatan rapi di hospital.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, kesihatan minda dan fizikal serta persekitaran pengudaraan baik juga membantu mengurangkan pendedahan seseorang itu kepada jangkitan yang teruk.

Beliau berkata, kemungkinan pelbagai strategi bersama inilah yang membantu pesakit tidak bergejala teruk kerana penyakit Covid-19 sudah pun berada dalam komuniti.

"Jumlah kes terus meningkat dengan majoriti dalam kategori 1 dan kategori 2. Namun kes kematian mencecah 100 hingga 200 kes setiap hari untuk 10 hari kebelakangan ini.

"Jumlah saringan Rapid Test Kit (RTK) dan kit ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dilaporkan melebihi 50,000 setiap hari secara purata mulai pertengahan Julai lalu.

"Sementara, kes baru yang dikesan semalam mencecah 15,573 (11.3 peratus) daripada jumlah yang membuat ujian 13,7326," katanya.

Berdasarkan data semalam, katanya, didapati pesakit kategori 1 (tiada gejala) adalah sebanyak 8,273 (53.1 peratus) dan kategori 2 (bergejala ringan) sejumlah 7,093 (45.6 peratus) yang membabitkan peratus kes paling tinggi di Selangor dan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, katanya berdasarkan data semalam kategori pesakit 3, 4 dan 5 menyumbang kepada 205 kes atau 1.3 peratus.

"Pada masa sama setakat 22 Julai, peratusan yang sudah lengkap menerima vaksin adalah 15.6 peratus dan sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin 33.4 peratus.

"Persoalannya apakah status dalam kalangan mereka sudah mendapat vaksin lengkap dikesan daripada pesakit kategori 1 dan 2? Data diperlukan sebagai bukti.

"Namun, jika dilihat pada masa sekarang, kemungkinan 'viral load' (jumlah virus dalam darah orang dijangkiti) yang rendah adalah kerana mengamalkan penyaringan awal, penjarakan fizikal, hanya keluar rumah jika perlu, mengamalkan kebersihan dan memakai pelitup muka, membasuh tangan serta mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat sekali gus turut membantu mengurangkan pendedahan seseorang itu kepada jangkitan yang teruk," katanya.

Beliau berkata, setiap anggota masyarakat perlu menghargai usaha bersama bagi menguatkan keyakinan untuk terus keluar dari kemelut pandemik Covid-19 dan impaknya.

Pada masa sama, katanya, sentiasa mendapatkan maklumat sahih bagi mengelakkan panik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 4:25 PM