Petugas kesihatan melakukan ujian calitan Covid-19 kepada orang ramai. FOTO Farizul Hafiz Awang
Petugas kesihatan melakukan ujian calitan Covid-19 kepada orang ramai. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mary Victoria Dassa


Johor Bahru: Beban berterusan diletakkan masyarakat kepada petugas barisan hadapan boleh mengakibatkan golongan itu berdepan tekanan emosi melampau.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Negeri Johor, Michael Tay berkata, beban dalam jangka masa panjang juga mungkin antara faktor golongan ini akhirnya mengambil keputusan meletak jawatan atau berhenti tugas serta merta.

Beliau berkata, ia berikutan petugas barisan hadapan juga adalah manusia biasa yang memerlukan waktu rehat secukupnya, tenaga fizikal dan mental.

Menurutnya, bagi mengelakkan golongan berkenaan terus dibebani dengan tugasan memerangi covid-19, masyarakat seharusnya memainkan peranan dengan memastikan mereka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Petugas barisan hadapan bukan meminta wang ringgit tetapi hanya kerjasama semua bagi mematuhi SOP ditetapkan.

"Sudah tiba masanya kita membalas jasa petugas barisan hadapan yang berkorban demi mengurangkan penularan Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

"Bayangkan setiap hari mereka tidak boleh meluangkan masa berkualiti bersama keluarga selain tekanan kerja melampau di hospital, pusat pemberian vaksin atau mereka yang bertugas mengawal sekatan jalan raya (SJR)," katanya ketika menyampaikan sumbangan 100 kartun botol air mineral di Hospital Permai di sini, tadi.

Sementara itu Michael berkata, difahamkan golongan terbabit terutama yang bertugas di hospital memerlukan bekalan makan kering dan kudapan ketika menjalankan tugasan.

Menurutnya, ia berikutan sesetengah mereka tidak berpeluang untuk memasak atau menyiapkan sajian selepas pulang ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 4:59 PM