SUMBANGAN pelitup muka Himaya Premium Hijab Medical Mask khusus untuk petugas barisan hadapan di PPUM hari ini.
SUMBANGAN pelitup muka Himaya Premium Hijab Medical Mask khusus untuk petugas barisan hadapan di PPUM hari ini.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Seramai 6,725 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan dijangkiti Covid-19 sejak penularan wabak itu dalam negara sehingga Mei lalu ketika bertugas untuk rakyat.

Itulah risiko besar dihadapi barisan hadapan negara, malah lebih membimbangkan apabila virus Covid-19 kini berevolusi varian baharu yang mudah merebak melalui bawaan udara (airborne).

Menyedari ancaman dan bahaya ditempuhi petugas barisan hadapan, Anggun Kirana Sdn Bhd selaku syarikat pengeluar Himaya Premium Hijab Medical Mask menyumbangkan 10,000 keping pelitup muka kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Pelitup muka Himaya disumbangkan itu mendapat kelulusan KKM iaitu perakuan MDA ( (Medical Device Authority) sebagai pelitup muka perubatan sesuai digunakan untuk petugas barisan hadapan tanpa was-was.

Pegawai perubatan PPUM Dr Ileena Abdul Muin berkata, pihak hospital amat berterima kasih atas keprihatinan dan sumbangan diberikan itu.

Menurutnya, petugas di pusat perubatan berkenaan sememangnya memerlukan pelitup muka yang banyak dalam tugasan harian apatah lagi ketika kes jangkitan Covid-19 masih pada angka membimbangkan.

"Sumbangan pelitup muka ini sedikit sebanyak dapat membantu kami dalam tugasan harian berikutan kami perlu memakai pelitup muka perubatan setiap masa," katanya.

Seorang lagi pegawai perubatan PPUM, Dr Amir Arif Ahmanul berkata, usaha murni dilakukan syarikat berkenaan adalah inisiatif yang sangat baik sekali gus membantu kelangsungan kerja-kerja klinikal dilakukan.

Sementara itu, pengasas Himaya Premium Hijab Medical Mask, Datuk KK Chua berkata, sumbangan dilakukan itu adalah sebahagian program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikatnya.

Katanya, program itu diadakan sebagai menyatakan sokongan terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan (frontliner) yang saban waktu bertungkus lumus dan menggadai nyawa dalam merawat pesakit Covid-19.

"Dalam menghadapi keadaan jangkitan dan pesakit Covic-19 yang semakin meningkat, golongan petugas barisan hadapan memerlukan perlindungan yang paling maksimum.

"Pelitup muka Himaya mendapat kelulusan KKM iaitu perakuan MDA (Medical Device Authority) sebagai pelitup muka perubatan tanpa was was. Ia sangat selesa dan amat sesuai digunakan oleh petugas barisan hadapan yang sentiasa berhadapan dengan risiko tinggi jangkitan Covid-19," katanya.

Menurutnya, beberapa lagi hospital turut bakal menerima sumbangan sama daripada pihaknya.

Himaya Premium Hijab Medical Mask adalah pelitup muka premium perubatan diperbuat dengan tiga lapis fabrik yang memudahkan pernafasan dan selesa digunakan terutama untuk wanita berhijab di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 11:34 PM