YOB Daha ditangkap PERHILITAN Perak di ladang sawit dekat FELDA Bersia Timur, kelmarin selepas didapati merosakkan tanaman penduduk. FOTO PERHILITAN Perak
YOB Daha ditangkap PERHILITAN Perak di ladang sawit dekat FELDA Bersia Timur, kelmarin selepas didapati merosakkan tanaman penduduk. FOTO PERHILITAN Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Gerik: Seekor gajah jantan berusia lebih 18 tahun dipercayai dipinggirkan oleh kumpulannya bertindak merosakkan tanaman penduduk sejak lebih seminggu lalu.

Gajah dewasa itu bagaimanapun akhirnya berjaya ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di ladang sawit dekat FELDA Bersia Timur, di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusof Shariff berkata, gajah itu ditangkap susulan aduan diterima Pejabat Perhilitan Daerah Gerik berhubung gangguan mamalia itu yang merosakkan tanaman pisang, kelapa dan kelapa sawit milik penduduk sejak 13 Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya melalui Unit Tindakan Gajah (UTG) negeri Perak berjaya menangkap gajah diberi nama 'Yob Daha' itu dalam tempoh tiga jam selepas usaha menjejakinya dimulakan seawal 7 pagi semalam.

"Gajah itu akan dipindahkan esok (hari ini), di mana operasi pemindahannya dimulakan jam 8 pagi membabitkan 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah serta lapan kakitangan PERHILITAN Perak selain dibantu dua gajah denak bernama Rambai dan Abot.

"Yob Daha akan dipindahkan ke Taman Negara bersempadan antara Kelantan, Pahang, dan Terengganu. Kita tidak memindahkannya ke tempat asal kerana dibimbangi akan kembali mengganggu penduduk walaupun jaraknya sejauh 80 kilometer.

"(Tambahan) gajah jantan ini mungkin dipulau serta dikeluarkan dari kawanan gajah kerana bertindak nakal, bergaduh dan pelbagai faktor lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 4:33 PM