Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan dibuka semula susulan kapasiti penempatan pesakit Covid-19 di seluruh negeri melebihi 60 peratus.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, PKRC Dewan Jubli Perak dibuka bermula hari ini dan asrama Hospital Pasir Mas (HPM) beroperasi sejak 14 Julai lalu.

Beliau berkata, tindakan membuka semula PKRC itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk persediaan jika terdapat penularan jangkitan wabak selepas sambutan Aidiladha.

"Jika dilihat kepada trend kes Covid-19 di Kelantan seminggu lalu hampir mencecah 300 kes, namun kebelakangan ini menunjukkan trend menurun sekitar lebih 100 kes sahaja.

"Tetapi sebarang kebarangkalian boleh berlaku terutama selepas sambutan Hari Raya Korban, justeru keputusan membuka dua PKRC adalah jalan terbaik setakat ini, sekali gus menjadikan keseluruhan 11 PKRC di Kelantan.

"Pada 1 Ogos, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kota Bharu, akan ditutup dan pesakit baru yang memerlukan isolasi akan ditempatkan di asrama HPM atau Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di PKRC Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (kanan) bersama Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Datuk Dr Selasawati Ghazali (kiri) melawat PKRC yang baru dibuka semula di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (kanan) bersama Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Datuk Dr Selasawati Ghazali (kiri) melawat PKRC yang baru dibuka semula di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Datuk Dr Selasawati Ghazali, yang turut menyaksikan penyampaian sumbangan biskut raya daripada Yayasan Noor Al Syakur (YANAS) kepada petugas.

Dr Mohd Zurairie berkata, PKRC berkenaan mampu menempatkan 200 pesakit iaitu lebih ramai berbanding sebelum ini susulan penambahbaikan fasiliti termasuk menyediakan katil dua tingkat.

Beliau berkata, untuk permulaan, pihaknya menerima hampir 50 pesakit di PKRC Dewan Jubli, di sini, bermula jam 2 petang, hari ini.

"Selain itu, tiada lagi PKRC menempatkan pesakit sekeluarga membabitkan isteri, suami dan anak, namun jika keadaan memerlukan mereka akan ditempatkan di wad disediakan bilik isolasi.

"Setakat ini, di Kelantan seramai 98 individu yang menjalani kuarantin di rumah akibat jangkitan Covid-19 dan diharapkan jumlah jangkitan terus berkurangan supaya kita boleh kembali menjalani kehidupan normal seperti biasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 3:41 PM