Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pemeriksaan akan dijalankan ke atas kediaman warga asing menjalankan perniagaan di Taman Nagasari di sini, yang didakwa menjadi punca penularan wabak Covid-19 hingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya sudah mengatur pasukan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap semua kediaman warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram.

"Kita sudah ada pasukan untuk tujuan itu dan merangka tindakan bersepadu dengan polis serta Jabatan Imigresen untuk menutup premis yang beroperasi secara haram itu," katanya di sini, hari ini.

Penduduk mendakwa punca penularan Covid-19 di kawasan itu disebabkan oleh premis warga asing yang beroperasi secara haram dan mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Oleh itu, mereka meminta supaya pihak berkuasa melakukan sesuatu supaya perkara berkenaan tidak berulang sebaik PKPD ditamatkan.

PKPD di Taman Nagasari, Mukim 6 daerah Seberang Perai Tengah yang bermula pada 4 Julai lalu akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

Terdahulu, kerajaan melaksanakan PKPD di situ bagi memudahkan saringan komuniti meluas dijalankan supaya pengesanan kes dan kontak dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan selepas kawasan itu mencatatkan 251 kes baharu jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 1:23 PM