BILANGAN warga asing yang terlalu ramai membuatkan sekitar taman, seolah-olah bukan berada di negara sendiri ketika tinjauan di Taman Nagasari. FOTO Danial Saad
BILANGAN warga asing yang terlalu ramai membuatkan sekitar taman, seolah-olah bukan berada di negara sendiri ketika tinjauan di Taman Nagasari. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Buat seperti kampung halaman sendiri. Itu suasana yang dapat digambarkan di Taman Nagasari, Perai, dekat sini, ketika tinjauan dilakukan berkaitan isu kebanjiran warga asing di lokasi berkenaan.

Lebih satu jam berada di taman perumahan berkenaan, tidak dinafikan ada perasaan sedikit gentar dengan keadaan persekitaran taman perumahan berkenaan yang dipenuhi warga asing.

Malah, penulis dapat merasakan seolah-olah bukan berada di negara sendiri.

Maka tidak hairan, situasi itu menimbulkan ketidakselesaan warga tempatan yang mahu penguatkuasaan dilakukan dengan lebih tegas memandangkan ia ada kaitan dengan faktor keselamatan.

Warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh antara yang banyak ditemui menetap di taman perumahan berkenaan dengan mereka dipercayai bekerja di kilang perindustrian yang terletak tidak jauh dari lokasi itu.

Bukan itu sahaja, tinjauan mendapati kumpulan warga asing terbabit juga berani menjadikan kawasan kediaman untuk membuka pelbagai jenis perniagaan seperti kedai runcit, menjual makanan serta minuman, dandanan rambut dan lebih mengejutkan, ada juga yang menternak ayam.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Amirul, 27, berkata, isu kebanjiran warga asing di taman perumahan itu sudah berlarutan sekian lama tanpa ada tanda-tanda perubahan yang positif ,sebaliknya ia semakin berleluasa. Terus-terang, sebagai penduduk tempatan, saya malu setiap kali orang bertanyakan di mana saya tinggal dan maklumkan lokasinya, ramai menggelarkan taman perumahan ini sebagai koloni warga asing.

"Saya memang terasa terhina tetapi apa yang mereka katakan memang betul. Itulah pendapat mereka berkaitan tempat ini.

"Cukup menghairankan kerana warga asing di sini, seolah-olah mempunyai satu tiket besar yang menjadikan mereka kebal hingga tidak ada siapa pun yang mengambil, tindakan," katanya.

PENDUDUK mendakwa merasakan seolah-olah bukan berada di negara sendiri akibat kebanjiran warga asing di Taman Nagasari, Perai. FOTO Danial Saad
PENDUDUK mendakwa merasakan seolah-olah bukan berada di negara sendiri akibat kebanjiran warga asing di Taman Nagasari, Perai. FOTO Danial Saad

Menurut Amirul, akhirnya, yang menjadi mangsa adalah penduduk tempatan kerana lokasi itu menjadi kawasan tumpuan rakyat asing untuk dijadikan 'kampung halaman sendiri'.

Jelasnya, pasukan keselamatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) kerap mengadakan rondaan di sekitar kawasan perumahan itu, namun dilihat tiada tindakan diambil.

"Saya hairan, mereka (pasukan keselamatan dan PBT) masuk membuat pemeriksaan secara kerap tetapi entahlah, tiada apa pun tindakan, bahkan tengok macam biasa juga.

"Lebih parah, mereka (warga asing) sudah semakin besar kepala apabila pada mulanya hanya menjadikan kediaman yang disewa sebagai tempat berteduh, namun kini sudah berani membuka perniagaan sehingga ada perniagaan pasar malam dibuka di taman perumahan ini.

"Ini belum termasuk lagi dengan penjualan samsu. Ada yang menjadikan rumah disewa sebagai tempat memproses minuman keras terbabit sebelum dijual kepada warga asing juga sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada penduduk setempat," katanya.

Menurutnya, isu kebersihan dan jenayah juga mendatangkan kebimbangan terhadap penduduk setempat, tambahan pula pernah berlaku kejadian bunuh dan pergaduhan di lokasi berkenaan.

"Warga asing ini kebanyakannya gemar minum minuman keras sehingga mabuk sebelum ada kalanya berakhir dengan pergaduhan.

"Daripada segi kebersihan, mereka juga tidak ambil peduli bahkan gemar mencampak sampah begitu sahaja. Ia juga menyebabkan kes denggi meningkat selain punca penularan Covid-19 sehingga kawasan ini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

17 premis perniagaan dimiliki warga asing: MBSP

Program pemutihan warga asing di Taman Nagasari, Perai, dekat sini, wajar dilakukan segera memandangkan isu berkenaan semakin berlarutan, malah seolah-olah tiada jalan penyelesaian sehingga kini.

Pengerusi Majlis Pengurusan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Jalan Pengkalan Mohd Rodzuan Hasan berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab menyelia kawasan taman perumahan berkenaan, beliau mengambil maklum akan permasalahan itu.

"Pelbagai tindakan serta amaran sudah diberikan kepada warga asing di sini supaya dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Namun mereka, saya lihat seperti tidak faham bahasa hingga mencetuskan kemarahan penduduk setempat.

"Warga asing juga turut mencemarkan alam sekitar apabila suka membuang sampah sesuka hati, membiarkan botol arak bersepah di kawasan taman perumahan malah ada kalanya najis masing-masing juga dilempar sesuka hati," katanya.

WARGA asing juga berani menjadikan kawasan kediaman untuk membuka pelbagai jenis perniagaan di Taman Nagasari, Perai. FOTO Danial Saad
WARGA asing juga berani menjadikan kawasan kediaman untuk membuka pelbagai jenis perniagaan di Taman Nagasari, Perai. FOTO Danial Saad

Mohd Rodzuan berkata, beliau kini berharap langkah pemutihan dapat diambil pihak berkaitan bagi memerangi isu terbabit.

"Saya tahu pihak berkuasa kerap masuk ke kawasan ini tetapi saya harap tolonglah buat pemutihan.

"Banyak kali teguran diberikan tetapi masih begitu, warga asing ini perlu diberikan pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Mohd Faidrol Mohd Radzi berkata, melalui pemeriksaan yang dijalankan baru-baru ini, terdapat 18 kediaman dijadikan premis perniagaan.

"Siasatan mendapati 17 premis dimiliki warga asing dan satu lagi adalah milik warga tempatan yang mana premis warga asing didapati beroperasi tanpa lesen.

"Kami mengeluarkan notis mengkehendaki perniagaan warga asing itu dihentikan. Pada masa sama, kita turut merampas barangan ke atas premis yang menjalankan perniagaan secara haram itu.

"Kita juga meroboh struktur lapan premis perniagaan yang ia dibina tanpa mendapat kelulusan MBSP," katanya.

Selain itu, katanya, MBSP turut mengeluarkan 13 kompaun ke atas warga asing yang menjalakan aktiviti penjaja termasuk mengambil dua tindakan rampasan barang.

"MBSP mengambil maklum akan permasalahan yang berlaku dan sentiasa menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:00 PM