ASNA Mohd Amin (kiri) hadir di kandang lembu di Lenggeng susulan pelaksanaan ibadah korban yang ditangguhkan di Negeri Sembilan tahun ini. FOTO Mohd Amin Jalil
ASNA Mohd Amin (kiri) hadir di kandang lembu di Lenggeng susulan pelaksanaan ibadah korban yang ditangguhkan di Negeri Sembilan tahun ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Pembekal lembu tidak mahu kembalikan wang pendahuluan, jadi kami mungkin terpaksa meneruskan ibadah korban di negeri jiran sama ada di Selangor atau Melaka," kata Pengerusi Yayasan Pendidikan Bumiputera (YPB), Asna Mohd Amin.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan bahawa pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di Negeri Sembilan ditangguhkan tahun ini.

Asna berkata, pihaknya mengakui terkejut dengan kenyataan atau pengumuman mengenai ibadah korban ketika segala persiapan sudah dibuat termasuk menempah lembu untuk dikorbankan.

"Kami sudah merancang untuk menyembelih 20 ekor lembu pada program korban Aidiladha tahun ini membabitkan penyertaan 140 peserta.

"Namun larangan itu menyebabkan kami terpaksa mencari alternatif lain supaya ibadah korban itu dapat diteruskan berikutan pihak pembekal lembu tidak akan mengembalikan semula wang," katanya tadi.

Asna berkata, pihaknya akan cuba untuk merayu kepada pihak berkuasa negeri supaya program sembelihan korban dapat diadakan di negeri ini.

"Kami akan cuba rayu kepada pihak berkuasa supaya program sembelihan korban ini dapat diadakan di ladang ternakan tanpa kehadiran peserta manakala daging ternakan korban itu diagihkan secara pandu lalu.

"Pihak pengurusan ladang bersedia memberikan kerjasama dan mereka tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan program terbabit," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA) Taman Satria, Senawang, Mohd Zatullah Kamarudin juga berhadapan dengan masalah sama apabila rancangan untuk menguruskan sembelihan tujuh ekor lembu pada Aidiladha ini, terganggu.

Beliau berkata, pihak pembekal sudah menegaskan tidak akan mengembalikan semula wang bayaran pendahuluan sebanyak RM10,000 kerana mereka sudah menggunakan wang itu untuk membeli ternakan.

"Jika program sembelihan korban ini tidak dapat diadakan ia memberi masalah kepada saya untuk memulangkan semula wang berkenaan kepada setiap peserta," katanya.

"Kami berharap kelonggaran dapat diberikan oleh pihak berwajib supaya kami dapat mengadakan program sembelihan korban tahun ini walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Kelmarin Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, menegaskan penangguhan program ibadah korban diambil susulan peningkatan kes virus covid-19 di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 5:05 PM