Sebanyak 3,796 ekor haiwan akan disembelih pada Aidiladaha di Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Sebanyak 3,796 ekor haiwan akan disembelih pada Aidiladaha di Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Perkhidmatan Veterina (JPV) Pahang mengeluarkan sebanyak 621 permit sembelihan haiwan ternakan untuk ibadah korban pada Aidiladha esok.

Pengarahnya, Dr Kamaliah Ghazali berkata, permit berkenaan membabitkan sebanyak 3,796 ekor lembu, kerbau, kambing dan bebiri yang akan disembelih di Pahang.

Menurutnya, daerah Kuantan terbanyak haiwan yang akan dikorbankan iaitu sebanyak 1,075 ekor, diikuti daerah lain membabitkan antara 32 hingga 447 ekor ternakan.

"Hampir 87 peratus haiwan yang akan dikorbankan membabitkan ternakan lembu baka Kedah Kelantan (KK) dan selebihnya kerbau, kambing dan bebiri.

"Permit dikeluarkan kepada individu, surau dan masjid, jumlah haiwan yang akan dikorbankan pada Aidiladha kali ini bertambah berbanding sebelum ini," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, pegawai JPV akan melakukan pemeriksaan di tempat sembelihan bagi memastikan pihak yang melakukan ibadah korban memiliki permit sembelihan seterusnya mematuhi syarat ditetapkan.

Dr Kamaliah menambah, tindakan undang-undang boleh dikenakan pada pihak melakukan sembelihan tanpa permit dikeluarkan JPV, ini bagi memastikan haiwan yang akan disembelih berada dalam keadaan baik dan bebas penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 4:28 PM