TNB optimis mempercepatkan Pelan Peralihan Tenaga sempena aspirasi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.
TNB optimis mempercepatkan Pelan Peralihan Tenaga sempena aspirasi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

TENAGA Nasional Bhd (TNB) akan melabur kira-kira RM20 bilion setahun dalam tempoh 28 tahun akan datang sebagai perbelanjaan modal inisiatif mempercepatkan Pelan Peralihan Tenaga sempena aspirasi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata, pelaburan akan membuka jalan kepada syarikat utiliti nasional itu melakar perjalanan mencapai aspirasi sifar bersihnya dan mencipta peluang meraih lebih dua kali ganda perolehan sebelum cukai dan faedah (EBIT).

"Perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab akan membawa pertumbuhan perniagaan yang positif kepada kumpulan, sambil kami mempercepatkan usaha untuk nyahkarbon," katanya pada pengumuman Pelan Peralihan Tenaga TNB yang diadakan kelmarin.

Program sehari itu dihadiri pemimpin kanan pemegang saham utama TNB termasuk Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pengurus dana dan penganalisis.

Ia diadakan untuk memberikan butiran lanjut mengenai inisiatif TNB dalam mempercepatkan usaha mencapai aspirasi kemampanannya.

Awal bulan ini, TNB mengumumkan inisiatif untuk menyegerakan agenda kemampanannya dan berkongsi kemajuan Pelan Peralihan Tenaga.

Baharin memberitahu forum berkenaan bahawa dengan kumpulan akan terus melabur dalam Grid Masa Hadapan, TNB bakal mengembangkan aset kawal selia itu kepada RM100 bilion menjelang 2050.

"Kami akan terus membangunkan kesalinghubungan grid serantau yang akan membolehkan perluasan pengagihan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB), sekali gus membantu nyahkarbon sistem tenaga Asean, di samping mengukuhkan keselamatan bekalan.

"Grid ini akan memberikan kumpulan potensi pendapatan RM7 bilion menjelang 2050," katanya.

Baharin berkata, TNB juga sedang mempercepatkan agenda kelestariannya yang memerlukannya melakukan anjakan besar merentasi rantaian nilai dalam memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

"Disokong oleh pasaran domestik yang stabil, aspirasi Peralihan Tenaga akan memberikan kami keupayaan tambahan, teknologi dan modal yang penting untuk masa depan lebih lestari.

"Inisiatif segera kami sepanjang peralihan ini didorong oleh rasa tanggungjawab yang mendalam, memandangkan peranan TNB dalam landskap tenaga negara, serta rasa mendesak untuk memastikan kelestarian perniagaan," katanya.

Baharin mendedahkan bahawa selain memperkasa Grid Nasional, TNB sedang mengambil tiga inisiatif lagi untuk menyegerakan agenda kemampanannya.

Ia membabitkan anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), New Energy Division (NED) dan bidang kenderaan elektrik (EV).

Mengenai TNB Genco, beliau berkata, pecutan pelan penyahkarbonan TNB akan meningkatkan nilai perusahaan syarikat itu untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

Katanya, TNB Genco menyasarkan untuk memperoleh anggaran pendapatan RM40 bilion daripada pasaran penjanaan domestik menjelang 2050.

"Selain itu, TNB sedang meneroka projek gas dan kuasa hidro di Asean dengan sasaran kira-kira 800 megawatt (MW) menjelang 2050," katanya.

Baharin berkata, bagi mengembangkan portfolio TBB, NED menyasarkan kapasiti 14.3 gigawatt (GW) menjelang 2050 dengan anggaran pelaburan ekuiti AS$7 bilion.

Katanya, strategi NED adalah untuk meningkatkan pelaburan dalam solar berskala besar serta angin darat dan luar pesisir, dengan tumpuan dalam pasaran sedia ada di Malaysia dan United Kingdom serta pasaran baharu di Sepanyol, Ireland, Perancis, Thailand, Filipina, Vietnam, Australia, Taiwan serta Korea.

Mengenai EV, beliau berkata tumpuan TNB adalah pada membangunkan ekosistem EV sebagai sebahagian daripada usaha untuk membawa pengguna sepanjang perjalanan Pelan Peralihan Tenaga.

"Kami komited untuk melabur RM90 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memacu penggunaan EV, mencapai 500,000 kereta menjelang 2030 yang akan menyumbang RM1.25 bilion hasil elektrik setahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:00 AM