Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses membangunkan 'Covid-19 Clinical Care Pathway' bagi memberikan ubat antiviral kepada pesakit Covid-19 berisiko tinggi pada peringkat awal ketika mereka bergejala ringan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit Covid-19 ini bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.

"Rawatan antiviral ini akan meliputi pesakit di Klinik Kesihatan, Covid-19 Assesssment Center, PKRC dan juga hospital bagi pesakit yang di masukkan ke wad dan rawatan akan dimulakan selepas bekalan ubat antiviral ini tersedia.

"Peningkatan kes Covid-19 buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, walaupun negara kini berdepan dengan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

"Ini sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi," katanya pada sidang media, hari ini.

KHAIRY ketika sidang media.
KHAIRY ketika sidang media.

Sementara itu, Khairy berkata, semua klinik kesihatan bersedia untuk menerima kedatangan pesakit yang tinggi dan sehingga 7 Februari lalu, terdapat 370 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan di komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif Covid-19.

"CAC berfungsi untuk mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah.

"Menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan, mengenalpasti dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital.

"Selain itu, menjalankan penilaian dan pelepasan (release order) kepada kes positif yang tamat tempoh pengasingan dan PKD akan sentiasa mengenal pasti Klinik Kesihatan dan dewan orang ramai yang sesuai untuk menambah bilangan CAC bagi menampung pertambahan kes Covid-19 jika ada keperluan," katanya.

Walau bagaimanapun, Khairy berkata, Individu positif Covid-19 kategori satu (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan) dan tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke CAC.

Katanya, pesakit perlu melakukan pemantauan kendiri setiap hari melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

"Sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan dihantar sekiranya pesakit tidak menjalankan pemantauan kendiri melalui MySejahtera.

"Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat untuk penilaian tahap keterukan jangkitan akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon yang senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapati di https://covid-19.moh.gov.my/hotline," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 6:09 PM