GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dijadikan buruh paksa oleh majikannya diselamatkan dalam satu operasi membabitkan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), PasukanTindakan Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) dan polis, di Taiping, Perak pada Jumaat lalu.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini, operasi menyelamat jam 6.30 pagi itu dilakukan susulan aduan dan maklumat pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

KSM dalam kenyataan berkata, majikan dikatakan mengambil kesempatan dengan memanipulasi pekerja terbabit yang tidak mempunyai permit kerja dan dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin.

"Majikan menjadikan isu pendatang tanpa izin sebagai ugutan untuk memaksa mangsa melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental," katanya.

Menurut KSM, wanita berkenaan dibawa masuk ke Malaysia oleh seorang ejen yang memaklumkan bahawa beliau akan bekerja sebagai pembantu rumah dan dijanjikan gaji sebanyak RM1,000.

Mangsa diminta membayar sebanyak tiga bulan gaji sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen selepas mendapat pekerjaan dan bayaran itu sudah dilunaskan melalui potongan gaji mangsa, katanya.

Menurut KSM, wanita berusia 36 tahun itu juga pernah dipukul dengan tangan oleh majikan kerana tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan dan tidak diberi makan sekiranya menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal ataupun tidak mahu bekerja lagi.

"Malah, gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi wang gaji yang sudah diserahkan ke tangan diambil semula oleh majikan," katanya.

KSM berkata siasatan awal mendapati terdapat indikator buruh paksa yang dilakukan terhadap mangsa dan majikan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

KSM berkata mangsa yang masih dalam keadaan trauma kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Magistret Taiping pada tarikh sama mangsa diselamatkan.

IPO itu sah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 30 Julai ini bagi melengkapkan kertas siasatan JTK di bawah Akta Atipsom untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 5:39 PM