Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Perikatan Nasional masih kerajaan yang sah mengikut undang-undang dan perlembagaan, malah barisan kepimpinan untuk menerajui negara masih berjalan seperti biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia juga sudah disahkan Peguam Negara beberapa hari lalu yang menjelaskan penentuan sebuah kerajaan adalah melalui ahli Dewan Rakyat.

"Setakat hari ini, kita dimaklumkan tiada seorang pun Ahli Parlimen yang menarik diri daripada menyokong kerajaan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Selain itu, Pas juga tiada masalah dalam mempertahankan kedudukan kerajaan kerana janji parti ini adalah jelas sebagai mana kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk memperkasakan Muafakat Nasional dan mempertahan Perikatan Nasional.

"Kerajaan Perikatan Nasional dibina bersama parti-parti yang menyokong, bukan hanya satu parti tetapi lebih 10 parti yang ada," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bakul Makanan menerusi Pakej-Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kampung Tanjung Chat, di sini, hari ini..

TAKIYUDDIN pada sidang media ketika hadir  menyampaikan Bakul Makanan menerusi pakej Pemulih di Kampung Tanjung Chat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN pada sidang media ketika hadir menyampaikan Bakul Makanan menerusi pakej Pemulih di Kampung Tanjung Chat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Akhbar sebelum ini melaporkan, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 8 Julai, memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, Umno menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Mengulas lanjut tentang pandangan segelintir pihak mendakwa kerajaan gagal menguruskan negara dalam pandemik Covid-19, Takiyuddin menegaskan kerajaan hari ini bukanlah kepimpinan yang gagal.

"Bagi saya, kerajaan gagal adalah pada asalnya menjadi kerajaan dan sekarang bukan lagi kerajaan, itulah yang gagal.

"Orang yang tak jadi kerajaan kemudian jadi kerajaan, itu kerajaan berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:45 PM