Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 9,000 bakul makanan untuk penduduk yang terjejas akibat Covid-19 di Parlimen Pengkalan Chepa akan mula diagihkan minggu hadapan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Muhammad Abdul Munib Assyakirin Zakaria, berkata bantuan bakul makanan menerusi Pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) akan akan diberikan secara berperingkat.

"Menerusi peruntukan RM300,000, ia sepatutnya diagihkan kepada 3,000 penerima, namun Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menambah 6,000 lagi bakul menjadikan keseluruhan 9,000 bakul makanan.

"Kita memahami keadaan penduduk yang terjejas dan berharap bantuan keperluan asas makanan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat," katanya ketika ditemui, di sini.

Muhammad Abdul Munib Assyakirin berkata, agihan bantuan bakal makanan itu akan dilakukan menerusi penghulu untuk penduduk di kawasan masing-masing.

"Memandangkan kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak mahu berkumpul dan meminta penghulu mengambil bakul berkenaan untuk diserahkan kepada penduduk yang dikenal pasti.

"Kita sekarang dalam proses mendapatkan senarai penerima daripada penghulu. Untuk 3,000 bakul makanan membabitkan nilai RM100, manakala 6,000 bakul lagi membabitkan nilai RM50," katanya.

ABDUL Munib (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada wakil penduduk untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Munib (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada wakil penduduk untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata, sejak Januari sehingga kini, Parlimen Pengkalan Chepa menyediakan hampir 8,000 pek bantuan bekalan makanan membabitkan nilai RM600,000 kepada penduduk terjejas.

Katanya, bantuan itu akan dilakukan secara berterusan sehingga isu Covid-19 selesai bagi meringankan beban penduduk.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 8:43 AM