DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang melawat ICU Medan yang akan dihantar ke Hospital Kepala Batas Pulau Pinang pada Mei lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang melawat ICU Medan yang akan dihantar ke Hospital Kepala Batas Pulau Pinang pada Mei lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor dan Melaka bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani situasi pandemik Covid-19 di dua negeri berkenaan.

"Sehingga kini, KKM mengesahkan purata kes harian di Selangor dalam tempoh 14 hari kebelakangan menunjukkan trend peningkatan secara mendadak dengan jumlah kluster yang semakin meningkat.

"Berdasarkan situasi ini, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan satu lagi Hospital Medan ATM di Selangor.

"Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan Hospital Medan ATM di Melaka untuk menyokong sistem perkhidmatan kesihatan di negeri itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini

Ismail Sabri berkata, ATM akan berbincang dengan lebih lanjut bersama KKM untuk memperincikan semua keperluan bagi menentukan pembukaan hospital medan ATM di negeri itu dalam masa terdekat.

"ATM juga memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap siaga jika ada keperluan untuk membina hospital medan di negeri yang memerlukan khidmat sokongan kesihatan.

"Ia dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 9:05 PM