Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan akan memperkemas dan menilai prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, arahan utama itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

Menurutnya, ia kerja berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif.

"Saya sentiasa berbesar hati dan bersedia membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama.

"Negara bakal memasuki fasa endemik bermula hujung Oktober ini dan kerajaan serta rakyat harus bersama bersiap sedia bagi menjalani kehidupan seharian dengan norma baharu dan hidup bersama Covid-19," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, situasi kini sudah berbeza dengan tahun lalu kerana kerajaan sudah melaksanakan pemberian vaksin secara besar-besaran kepada rakyat yang mana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Katanya, SOP yang bakal diumumkan kerajaan kelak lebih bersifat menyeluruh, jangka masa panjang, mudah difahami serta paling penting dapat menjamin tiga tonggak utama iaitu, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Sidang Khas MKN hari ini mengesahkan saya akan kembali mengetuai usaha berkaitan Pengurusan Pandemik yang sempat digalas selama beberapa minggu sebagai Menteri Kanan Luar Negeri sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera bersedia mendirikan Hospital Medan ATM di negeri yang akan dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu memberikan rawatan ke atas pesakit Covid-19.

Katanya, hospital medan ini akan memberi tumpuan khususnya kepada pesakit yang berada dalam keadaan tahap tiga ke atas.

Hishammuddin Tun Hussein bercakap ketika sidang media khas di Wisma Pertahanan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hishammuddin Tun Hussein bercakap ketika sidang media khas di Wisma Pertahanan. FOTO ASYRAF HAMZAH

"Saya percaya bantuan ATM ini akan dapat membantu berupaya mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di negeri yang merekodkan kes jangkitan tinggi seperti Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

"ATM juga bersedia untuk membantu menyediakan pasukan vaksinasi ATM di negeri yang memerlukan khasnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai pihak KKM untuk meningkatkan bekalan dan mempercepatkan pemberian vaksin.

" Tidak sekadar di lima negeri berkenaan, ATM juga akan memberi bantuan sewajarnya bagi menjayakan usaha memerangi Covid-19 di negeri lain termasuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat seperti yang ditetapkan Sidang Khas MKN hari ini.

"ATM kini hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 4:39 PM