FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Melvin Joni


Kuching: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dalam proses membuka hospital medan bagi mengelak berlaku kesesakan di Hospital Kapit dekat sini.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing berkata, penyediaan hospital medan itu dijangka siap dalam tempoh seminggu.

"ATM sudah memulakan proses penyediaan hospital medan itu dan jika semuanya berjalan lancar, hospital berkenaan dijangka siap dalam satu minggu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, penyediaan hospital medan di Kapit adalah bagi mengelak kesesakan di Hospital Kapit dan ia adalah untuk menerima pesakit bukan Covid-19.

"Hospital medan ini adalah untuk pesakit bukan Covid-19 supaya katil di Hospital Kapit mencukupi bagi merawat pesakit Covid-19," katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk membuka hospital medan di Sarawak dan Kelantan yang kini menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dipetik berkata, hingga kini pihaknya melihat ada keperluan untuk mewujudkan hospital medan seperti yang dilaksanakan di Tawau ketika awal gelombang ketiga sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 1:27 PM