MOKTHAR dan Siti Balqis menunjukkan durian yang dijual melalui online. FOTO Roselan Ab Malek.
MOKTHAR dan Siti Balqis menunjukkan durian yang dijual melalui online. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


Jerantut: Pemborong dan peniaga durian di Jerantut kini menghadapi saat sukar kerana raja buah tidak dapat dijual secara terus kepada pembeli sehingga berlaku lambakan menyebabkan harganya menjunam.

Ia susulan bandar berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak minggu lalu membabitkan 64 taman perumahan di sekitar bandar Jerantut.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa beralih kepada cara penghantaran terus bagi mengelakkan berlaku lambakan raja buah itu.

Seorang peniaga durian di sini, Mokhtar Omar, 54 berkata, PKPD menyukarkannya menjual durian di tempat terbuka sekali gus memaksanya beralih kepada cara penghantaran terus di sekitar bandar Jerantut.

"Saya berniaga sejak durian kampung dan durian klon seperti Musang King, D24, IOI, duri hitam dan udang merah sejak lebih 30 tahun, dan tahun inilah saya menghadapi saat sukar.

"Buah durian di daerah ini mula gugur minggu ini dan ramai pekebun kecil mengharapkan kami mengambilnya untuk dipasarkan " katanya yang membeli buah dari pekebun di kampung Sungai Lekuk dan Sungai Par.

Menurutnya, PKP juga menyebabkan durian tidak dapat dipasarkan ke luar daerah terutama ke Lembah Klang seperti dahulu, selain orang luar tidak dapat rentas daerah ke Jerantut untuk membeli durian.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan harga buah durian agak murah berbanding tahun tahun sebelumnya.

Mokhtar berkata, isterinya Siti Balqis Lokman, 35, turut membantu menjual dengan membuat iklan di media sosial serta mengambil pesanan daripada pelanggan.

"Saya juga terpaksa menggunakan beberapa penghantar durian bagi memudahkan ia dihantar ke rumah pelanggan di sekitar bandar Jerantut dengan bayaran RM 3.

"Jualan tahun ini juga agak perlahan yang mana saya hanya mampu menjual sekitar 100 kilogram sahaja sehari berbanding mencecah satu tan sehari sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 11:14 AM