GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 bagi membantu pekebun yang mengalami masalah lambakan buah-buahan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, memandangkan musim buah-buahan khususnya durian berlaku serentak seluruh negeri, kerajaan negeri bersimpati dengan nasib pekebun yang mengalami kesukaran untuk memasarkan hasil mereka.

"Hampir setiap negeri kini berlakunya musim buah-buahan serentak khususnya durian dan perkara itu menyebabkan masalah lambakan dan kejatuhan harga yang mendadak sehingga ada di antara mereka mengalami kerugian.

"Bagi membantu nasib pekebun yang mengalami masalah lambakan ini, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) memperuntukkan RM 300,000 bagi membantu meringankan beban mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja dan menyerahkan 52 kotak makanan kepada penghuni di Apartment Tropicana, Bukit Merah yang masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, hari ini.

Pekebun di kawasan PKPD yang mengalami masalah sama, beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri belum memutuskan sebarang bentuk bantuan dan perkara itu akan dibincangkan.

Menurutnya, bagi membantu pekebun di kawasan daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol membeli sebanyak lima tan durian untuk diedarkan secara percuma kepada penduduk di sini dan petugas di sekatan jalan raya (SJR) seluruh Perak.

Terdahulu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membeli sebanyak lapan tan durian di Ijok, Selama bagi membantu pekebun dan peraih durian yang mengalami lambakan dan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 3:44 PM