AstraZeneca. FOTO Reuters
AstraZeneca. FOTO Reuters
Redzuan Muharam


Shah Alam: Malaysia menerima 586,700 dos vaksin AstraZeneca, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hadir menyaksikan penerimaan dos vaksin AstraZeneca di Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), di sini, hari ini.

Penghantaran vaksin itu sebahagian daripada komitmen AZ untuk menyampaikan 6.4 juta dos ke Malaysia dengan tambahan penghantaran dos seterusnya melalui fasiliti pelan peruntukan vaksin Covid-19 global (Covax).

Lembaga Pengarah AstraZeneca Malaysia Dr Sanjeev Panchal berkata, penghantaran vaksin itu adalah tonggak penting dalam memerangi pandemik.

"Kami mengharapkan kerjasama yang berterusan dengan kerajaan Malaysia dan pihak lain yang berusaha menyokong pemulihan Malaysia dari pandemik yang dahsyat ini," katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Harjeet Singh, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman, Pengarah Logistik Pharmaniaga, Abdul Malik Mohamed dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Pharmaniaga, Datuk Zuhri Iskandar Kamarzaman.

Menurut rekod, sejumlah 2,414,700 dos vaksin sudah pun dihantar sehingga kini.

Ia adalah sebahagian vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) NPRA dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diterajui KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersama agensi kerajaan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:04 PM