POLIS melakukan kawalan di sekitar kawasan syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd di Taman Perindustrian Puchong Utama yang menempatkan Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.22 pagi, semalam.
POLIS melakukan kawalan di sekitar kawasan syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd di Taman Perindustrian Puchong Utama yang menempatkan Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.22 pagi, semalam.

Kuala Lumpur: Ketibaan vaksin Sinovac adalah detik bersejarah bagi Malaysia dan penting kepada Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) dalam usaha mempelopori penghasilan vaksin serta sebagai kilang vaksin pertama yang akan melaksanakan proses fill and finish di Malaysia.

Menurut kenyataan, baru-baru ini, Pharmaniaga menjelaskan, anak syarikat milik penuhnya Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) menerima bekalan kelompok pertama vaksin Sinovac secara pukal bagi tujuan proses pengesahsahihan (PV).

PV adalah sebahagian syarat permohonan pendaftaran oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Vaksin berjumlah 200 liter atau bersamaan dengan 300,000 dos dalam envirotainer bagi mengekalkan suhu vaksin di antara dua dengan lapan darjah Celsius itu tiba selepas diterbangkan oleh MASkargo menerusi pesawat Airbus A330-300 penerbangan MH319 dari Beijing, China.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, setakat ini, Pharmaniaga mengemukakan dua permohonan kepada NPRA iaitu pendaftaran produk untuk vial (botol) vaksin yang sedia untuk digunakan dari Sinovac Life Sciences dan pengilangan fill and finish yang akan dilakukan di kilang PLS bertaraf Kesatuan Eropah.

"Pengilangan kelompok PV yang akan diikuti oleh pemantauan kajian kestabilan sangat penting bagi melengkapkan permohonan pendaftaran dan juga memastikan kualiti vaksin adalah sama walaupun berubah lokasi pengilangan dari Sinovac ke PLS," katanya dalam kenyataan.

PLS akan melakukan proses fill and finish vaksin ke dalam vial yang dilakukan di bilik bersih yang mempunyai piawaian steril yang tinggi dan patuh kepada Amalan Perkilangan Baik (GMP).

Beliau berkata, PV akan bermula pada 1 Mac 2021 dan ia dijangka siap dalam tempoh selama 12 hari.

NPRA akan melakukan pemeriksaan GMP untuk mengesahkan pematuhan GMP oleh PLS dan seterusnya memastikan vaksin yang dikilangkan adalah berkualiti untuk indikasi yang ditetapkan.

"Kami teruja dengan ketibaan vaksin untuk pengilangan PV ini yang membawa kami selangkah lebih dekat dengan visi untuk mengilangkan vaksin di negara ini.

"Sebelum usaha Pharmaniaga ini, Malaysia tidak mempunyai kemudahan untuk mengilang atau melakukan proses 'fill and finish' vaksin dan negara telah mengimport semua vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak dahulu lagi," katanya.

Zulkarnain berkata, pelan rancangan terperinci vaksin Pharmaniaga, termasuk menyediakan kemudahan 'fill and finish' serta kilang vaksin yang lengkap dengan kemudahan canggih bukan hanya akan menjadi yang pertama di Malaysia malah kilang vaksin halal pertama di dunia.

Beberapa pengeluar vaksin ternama akan terbabit dalam pemindahan teknologi ini termasuk Sinovac yang akan turut terbabit dalam penghasilan dua jenis vaksin, katanya.

Beliau berkata, selain dapat mengurangkan kebergantungan kepada vaksin yang diimport, Pharmaniaga berhasrat membantu kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan vaksin tahunan dengan mengilangkan vaksin di negara ini.

Usaha ini seterusnya akan membantu memacu pertumbuhan industri serta menambah nilai kepada keseluruhan rangkaian termasuk penyelidikan dan pembangunan di universiti, ujian klinikal dan kepakaran modal insan, katanya.

Pharmaniaga dan Sinovac menandatangani perjanjian pembekalan 14 juta dos vaksin Covid-19 secara pukal untuk PLS menjalankan pengilangan 'fill and finish'.

Menurut kenyataan itu, vaksin pukal adalah vaksin yang dihasilkan di negara asal dan dibawa dalam kuantiti yang besar untuk dimasukkan ke dalam vial, ampul atau jarum suntikan.

PLS akan memproses vaksin tidak aktif (atau vaksin yang telah dimatikan), yang juga vaksin terdiri daripada zarah-zarah virus yang dibangunkan dalam kultur dan kehilangan keupayaan menghasilkan penyakit.

Keadaan penyimpanan dan pengedaran vaksin bersuhu di antara dua dengan lapan darjah Celsius itu terbukti diyakini kerana teknologi ini dibangunkan lebih 40 tahun lalu.

Vaksin ini juga digunakan secara terus tanpa memerlukan proses pencairan seperti vaksin Covid-19 lain yang terdapat di pasaran.

Pharmaniaga adalah syarikat farmaseutikal terkemuka milik kumpulan syarikat Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang kedua-duanya adalah pemegang saham utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 7:01 AM