FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Pharmaniaga Bhd menjangkakan untuk mengeluarkan vaksin halal sendiri menjelang 2024 berdasarkan kepakaran dan kemudahan yang dimiliki ketika ini.

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, langkah pengeluaran vaksin telah dimulakan sejak 2018 dan kedatangan pandemik Covid-19 mempercepatkan lagi penyelidikan serta pembangunan vaksin kumpulan.

"Kumpulan juga sudah melabur sehingga RM200 juta bagi tujuan ini. Kami merasakan penting untuk mengeluarkan vaksin sendiri kerana tidak banyak negara mempunyai keupayaan dalam pengeluarannya.

"Vaksin keluaran Pharmaniaga juga akan menjadi vaksin halal, yang mempunyai potensi pertumbuhan lebih luas," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menjangka perniagaan vaksin Covid-19 akan menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Ini berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pandemik itu dijangka memberi impak kepada dunia sehingga 2025.

"Ketika ini juga, berdasarkan populasi penduduk dunia, kadar penerimaan vaksin Covid-19 masih belum mencapai 30 peratus.

"Justeru, kami yang mempunyai kemampuan berterusan pengeluaran vaksin isi siap ini mempunyai kelebihan dan kapasiti untuk terus membekalkan vaksin kepada negara lain selain Malaysia.

"Kami melihat potensi ini dan akan membangunkan kemudahan pengeluaran bagi menampung permintaan daripada pasaran luar.

"Malah, anak syarikat milik penuh kumpulan, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), akan mengeluarkan vaksin Sinovac isi siap dua dos setiap botol. Ini dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Ia sekali gus akan meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada dua juta kepada empat juta dos sebulan bermula Ogos ini," katanya selepas taklimat media prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2021 secara maya hari ini.

Zulkarnain berkata, peningkatan pengeluaran vaksin isi siap itu juga membolehkan Pharmaniaga memperluaskan pengedaran vaksin Sinovac ke pasaran Asia Tenggara dan Afrika.

Katanya, dengan 700 juta penduduk di Asia Tenggara dan 1.3 bilion di Afrika, ia bakal memberikan potensi pengembangan yang kukuh kepada kumpulan.

"Selepas Pharmaniaga berjaya mengedar dan membekalkan 20.4 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Malaysia, kami menjangkakan terdapat potensi malah berupaya untuk memasuki perniagaan eksport vaksin isi siap.

"Ketika ini, kami dalam perbincangan akhir dengan Sinovac Life Sciences Co Ltd bagi tujuan memudahkan urusan eksport vaksin. Walaupun ada persaingan sengit, kumpulan tetap memberi fokus meningkatkan operasi bagi memanfaatkan potensi besar di pasaran," katanya.

Zulkarnain berkata, kumpulan juga sudah menghantar beberapa dokumen untuk semakan NPRA bagi membolehkan vaksin Sinovac diberikan kepada penduduk berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Malah, kumpulan turut menjangkakan terdapat pertambahan permintaan vaksin Sinovac bagi tujuan suntikan penggalak dalam masa terdekat, sebagai perlindungan tambahan kepada varian virus Covid-19 yang lebih agresif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 4:04 PM