GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Selangor, Terengganu, Sabah dan Kuala Lumpur bermula 1 Julai sehingga 14 Julai 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan itu adalah tiga lokaliti dalam daerah Petaling, Selangor yang membabitkan Mentari Court, PJS 8, Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite-PKNS.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Kubang Jela, Mukim Manir, Kuala Terengganu, Terengganu, pada tarikh yang sama.

"Turut dikenakan PKPD adalah Kampung Balung Cocos, Tawau, Sabah yang bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti berkenaan.

"Selain itu, PKPD juga dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua lokaliti di Penampang, Sabah iaitu Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment pada 11.59 malam ini, seperti yang dijadualkan.

Selain itu, PKPD di PPR Taman Ehsan, Kudat, Sabah, dua perkampungan di Kuching iaitu Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas Kampung Rancangan; Kampung Kijang Merotai di Kalabakan; Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah, Tawau, Sabah akan ditamatkan pada 30 Jun seperti dijadualkan.

"PKPD di Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecildi Kota Kinabalu serta Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud, Sabah juga ditamatkan seperti dijadualkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 8:04 PM