GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tujuh lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai Isnin ini (30 Ogos) hingga 12 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19 di lokaliti terbabit.

Menurutnya, di Sabah, empat lokaliti PKPD dilaksanakan iaitu di Taman Ketiau, Platinum Apartmen, Taman Teluk Villa dan PPR Taman Sri Serigai.

"PKPD di Pahang pula di Mukim Hulu Cheka, Jerantut iaitu Kampung Batu Balai, Kampung Congo dan Kampung Perlok.

"SOP bagi kesemua PKPD sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, PKPD di Kampung Tuhau, Matunggong, Kudat, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan daripada 30 Ogos ini sehingga 12 September.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, beliau berkata, selepas meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa, PKPD akan ditamatkan di lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Kampung Sungai Pukul dan Kampung Muhibbah Raya.

"Dua lagi lokaliti PKPD ditamatkan adalah di Ranau, Sabah membabitkan Kampung Paka Kawiyan dan Kampung Matupang.

"Selain itu, Perumahan Ladang Excellent Challenger 2, Beluran dan pekan Donggongon, Penampang, Sabah membabitkan Blok G, H, K, L Megalong dan Kawasan Perbandaran Donggongon Fasa 2 ditamatkan esok (29 Ogos) seperti dijadualkan.

"Manakala Kampung Orang Asli Terisu, Pos Terisu, Cameron Highlands, Pahang dan Kampung Seberang Sungai Ular, Mukim Sungai Karang, Kuantan, Pahang ditamatkan pada 29 Ogos (esok) lebih awal dari dijadualkan (4 September 2021) ," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:36 PM