GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga lokaliti di Sabah dan Johor selama 14 hari bermula Selasa sehingga 13 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

"PKPD di Sabah membabitkan Kampung Bukit Gemuk, Tawau dan Kampung Nasakot, Ranau.

"Manakala PKPD di Johor pula membabitkan Kampung Nelayan Benut, Mukim Sungai Pinggan di Pontian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Rodzi berkata, PKPD di Taman Megah Jaya (Lorong 2, 3, 9 dan 10), Tawau, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 13 September.

Beliau berkata, 37 lokaliti PKPD lain iaitu tiga di Sabah dan 34 di Terengganu pula ditamatkan mulai esok seperti yang dijadualkan.

"Di Sabah membabitkan Kampung Mantanau, Kampung Pirasan Ulu dan Kampung Suang Punggur.

"Di Terengganu adalah Kampung Bukit Cina, Mukim Pasir Akar; 19 kawasan di Kuala Dungun dan 14 kawasan di Mukim Sura, Dungun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 8:23 PM