GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Murni Wan Omar; Hayati Ibrahim; Sri Ayu Kartika Amri; Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang dijangka membabitkan subsidi melebihi RM6 bilion tahun ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu hingga lima kilogram (kg), kerajaan akan melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah.

"Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol lima kg dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol," katanya dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg satu kg terjamin, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion.

Katanya, melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg satu kg pada harga bersubsidi RM2.50.

"Selain itu, sejak dilanda pandemik ini, kita banyak mendengar mengenai masalah sosial, antaranya masalah tekanan mental dan emosi.

"Kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih selain bersetuju memperuntukkan RM15 juta kepada badan bukan kerajaan (NGO) membantu menangani isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan dan masalah sosial lain di peringkat komuniti," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Program Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

"Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik.

"Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan.

"Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing," katanya.

Menurutnya, selain itu RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:41 PM