BARANG rampasan sindiket parcel scam dan love scam yang didalangi warga Nigeria dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kajang, Selangor, Rabu lalu. FOTO IHSAN PDRM
BARANG rampasan sindiket parcel scam dan love scam yang didalangi warga Nigeria dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kajang, Selangor, Rabu lalu. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sindiket 'parcel scam' dan 'love scam' didalangi warga Nigeria yang aktif sejak lima tahun lalu tumpas selepas polis menahan tujuh individu dalam dua serbuan berasingan di Kajang, Selangor, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan daripada maklumat dan risikan yang dilakukan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman membuat dua serbuan berasingan di Kajang bagi menumpaskan satu sindiket penipuan 'parcel scam' dan 'love scam'.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis menahan enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 33 hingga 42 tahun selepas mereka dikesan aktif melakukan penipuan terhadap warga tempatan dan luar negara.

"Turut dirampas lapan komputer riba, 17 telefon bimbit, tiga unit 'pendrive', dua set modem wifi, dua set router, dua keping kad pengeluaran wang automatik, satu set anak kunci, dua keping pasport Nigeria dan beberapa dokumen lain yang berkaitan siasatan yang dijalankan.

"Siasatan mendapati sindiket ini mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes penipuan yang dilaporkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan turut mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak lima tahun lalu dan suspek memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar serta visa lawatan sosial.

"Walaupun tempoh visa sudah tamat, mereka terus tinggal di negara ini secara haram dan menjalankan kegiatan penipuan.

"Sindiket ini beroperasi dalam dua kumpulan yang berbeza di mana satu kumpulan mencipta akaun palsu di media sosial dan memperdaya mangsa manakala satu kumpulan yang lain berperanan untuk mencari 'akaun keldai'," katanya.

Beliau berkata, sindiket ini juga bersekongkol dengan warga tempatan yang akan menyamar sebagai pegawai kastam atau staf syarikat kurier untuk memperdayakan mangsa.

"Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) atau Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/62," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 3:07 PM