Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


SINDIKET Macau Scam dianggotai sembilan warga China dan seorang lelaki tempatan yang menyasarkan mangsa dari negara asal mereka tumpas selepas diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sebuah apartment di Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Dalam serbuan 6 petang itu, 10 suspek terdiri daripada lapan lelaki dan seorang perempuan warga China serta seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter' berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan.

Siasatan awal mendapati mereka sudah menipu mangsa lebih RM3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail berkata, sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara kelahiran mereka tetapi beroperasi di negara ini.

"Berdasarkan semakan ada dalam kalangan suspek pernah beberapa kali masuk ke negara ini sejak hujung 2015 dengan menggunakan pas pelajar dan pas lawatan sosial. Enam daripada mereka didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh visa.

"Mereka menjadikan apartment terbabit sebagai tempat tinggal dan lokasi untuk aktiviti penipuan mereka. Mereka mendakwa dibayar ketua sindiket sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 sebagai upah bagi kerja penipuan yang dijalankan," katanya ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Luthfi berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank dan pegawai mahkamah dengan mendakwa mangsa atau saudaraterdekat terbabit dalam masalah dan perlu sejumlah wang untuk menyelesaikannya.

Katanya, sindiket ini dipercayai menggunakan semua akaun di China berdasarkan penemuan 176 kad mesin pengeluaran wang automatik dan debit pelbagai bank dari negara asal mereka.

"Kami turut merampas satu set komputer, dua modem Internet, komputer riba, wang berjumlah RM814 dan 695 Yuan (RM440), 29 sim card, 52 telefon bimbit, empat buku catatan dan empat pemacu keras," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan suspek direman sehingga Sabtu ini.

Dalam perkembangan berasingan, Luthfi berkata, JSJK IPK KL menerima 144 kes berkaitan Macau Scam membabitkan kerugian RM5.7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 6:33 PM
Mohd Luthfi ketika sidang media berhubung  kejayaan menumpaskan sindiket  Macau Scam di IPK Kuala Lumpur, hari ini. Foto Yazit Razali
Mohd Luthfi ketika sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket Macau Scam di IPK Kuala Lumpur, hari ini. Foto Yazit Razali