Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Rumah bot yang uzur dan usang di Tasik Kenyir di sini menjadi 'syurga kecil' enam beranak dari Kampung Basung.

Pemandu rumah bot, Samsuddin Khalid, 45, bersama isteri, Norfarhana Yusof, 30, dan empat anak mereka yang berusia antara lapan bulan hingga 11 tahun terpaksa memilih tinggal di rumah bot dan rakit sejak 10 tahun yang lalu.

Malah, enam beranak itu juga bergantung sepenuhnya kepada air tasik untuk kegunaan harian seperti mandi dan memasak selain turut berdepan ancaman haiwan berbisa dan kenaikan paras air yang mendadak serta ribut ketika musim tengkujuh.

Menurut Samsuddin, dia bersama isteri dan anak sulung sebelum ini tinggal di rumah keluarga namun berpindah kerana mahu berdikari dan menyewa di luar.

"Namun, pendapatan yang tidak menentu menyebabkan saya mengambil keputusan tinggal di rumah rakit yang terletak berhampiran rumah bot hampir sembilan tahun tetapi terpaksa berpindah pula ke rumah bot apabila rumah rakit yang didiami semakin uzur sejak tahun lalu.

"Melihat anak-anak yang semakin membesar, memang saya mahu sediakan rumah yang selesa tetapi saya tidak mampu apatah lagi ketika ini saya tidak bekerja kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya yang sebelum ini memperoleh pendapatan kita-kira RM1,000 sebulan.

Bagi Norfarhana, dia berharap ada pihak yang sudi memberikan rumah baharu buat mereka sekeluarga memandangkan rumah bot didiami mereka semakin uzur.

"Selain tidak selesa dan jauh daripada orang ramai, saya juga bimbang dengan keselamatan anak-anak walaupun tidak dinafikan mereka memang membesar di sini," katanya.

NORFARHANA bersama anak di perkarangan rumah bot di Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori
NORFARHANA bersama anak di perkarangan rumah bot di Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong Datuk Rozi Mamat berkata, kesusahan dihadapi Samsuddin dan keluarganya sememangnya dalam perhatian pihaknya sejak Februari lalu.

Katanya, pihaknya segera mengambil tindakan termasuk membuat permohonan kepada kerajaan pusat melalui Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad untuk membina sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keluarga Samsuddin ketika beliau datang ke Terengganu beberapa bulan lalu.

"Permohonan itu sudah diluluskan beberapa minggu lepas dan rumah PPRT itu akan dibina di tanah keluarga Samsuddin di Kampung Basung.

"Pembinaan rumah PPRT bernilai RM60,000 itu akan dimulakan sebaik sahaja pelantikan kontraktor selesai dan kita jangka ia akan mengambil masa antara satu atau satu bulan setengah untuk disiapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 11:39 AM