MOHD Zaid (kiri) menyerahkan tablet kepada Nor Nadia Shahira. FOTO Baharom Bakar
MOHD Zaid (kiri) menyerahkan tablet kepada Nor Nadia Shahira. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Berang: "Saya tidak perlu lagi guna telefon ibu untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," kata Nor Nadia Shahira Samsuddin, 11.

Nor Nadia Shahira, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Setebu, Kampung Basung, di sini, berkata demikian selepas menerima tablet bernilai RM380, hari ini.

Menurutnya, dia akan gunakan tablet secara bergilir-gilir dengan dua adik, Nor Syazlina Farahin, 9 dan Nor Azura Natasha, 7.

Dia berkata, sebelum ini dia terpaksa menggunakan telefon ibunya secara bergilir dengan Nor Syazlina Farahin dan Nor Azura Natasha untuk mengikuti PdPR.

Katanya, keadaan itu menyukarkan ibu untuk berurusan termasuk menghubungi ahli keluarga.

"Kami berjanji manfaatkan sepenuhnya tablet diberikan hanya untuk ikuti PdPR," katanya.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman.

Turut hadir, Pengurus Zon Bebas Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Faizol Abd Aziz.

Keluarga Nor Nadia Shahira tinggal di rumah rakit usang di Tasik Kenyir sejak 2011 lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan keluarga berkenaan menjadikan rumah bot uzur dan usang di Tasik Kenyir sebagai kediaman sejak 10 tahun lalu.

Samsuddin Khalid, 45, yang juga pemandu rumah bot memilih untuk tinggal di rumah bot dan rakit dengan bergantung sepenuhnya kepada air tasik untuk kegunaan harian.

Keluarga itu hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekali gus tidak mampu membaiki enjin dan beberapa struktur rumah botnya yang rosak sejak Februari tahun lalu.

Susulan laporan itu, Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris menawarkan Samsuddin dan keluarganya mendiami chalet secara percuma selama tiga bulan di Kampung Lawit, sebelum rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Basung siap pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 1:08 PM