Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Lebih 300,000 benih pelbagai spesis ikan sudah dilepaskan di Tasik Kenyir sehingga hari ini sebagai usaha meningkatkan stok ikan air tawar di tasik berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia juga sebahagian daripada sasaran satu juta benih ikan yang mahu dilepaskan setiap tahun bagi menjamin bekalan makanan.

"Pada 2 Februari lalu, sebanyak 5,000 benih ikan lampam sungai bernilai RM10,000 dilepaskan dan hari ini, kira-kira 300,000 benih ikan bernilai RM379,668 dilepaskan di tiga lokasi di Sungai Leban, Tasik Kenyir.

"Benih-benih ini diperoleh daripada Pusat Pengembangan Akuakultur Jabatan Perikanan dan pusat swasta.

"Insya Allah, sasaran kita untuk melepaskan satu juta benih ikan dapat dicapai menjelang hujung tahun ini bagi memastikan sumber perikanan terus kekal di tasik berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir Tahun 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (enam kiri) semasa Program Pelepasan Benih Ikan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu di Sungai Leban, Tasik Kenyir. Lebih 300,000 benih pelbagai spesis ikan iaitu kelah, temoleh, sebarau, lampam, terbul, baung dilepaskan di Tasik Kenyir sehingga Mac ini dalam meningkatkan stok ikan air tawar di tasik berkenaan. FOTO GHAZALI KORI

Che Abdullah berkata, tahun lalu, sebanyak 935,460 benih pelbagai spesis ikan iaitu kelah, temoleh, sebarau, lampam, terbul, baung dan udang galah bernilai RM550,460 dilepaskan di Tasik Kenyir.

Katanya, program ini bukan sahaja diharap mampu meningkatkan sumber perikanan darat tetapi meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:12 PM