LAPORAN eksklusif dalam akhbar Harian Metro
LAPORAN eksklusif dalam akhbar Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 152 bookie atau 'punter' yang terbabit dalam kegiatan pertaruhan Piala Dunia 2022 ditahan polis dalam serbuan di seluruh negara pada 19 hingga 28 November lalu menerusi Op Soga IX.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, pihaknya turut merampas nilai had kredit dalam perisian berjumlah RM3.1 juta dan RM113,140 wang tunai dipercayai wang pertaruhan.

"Tangkapan tertinggi dilakukan di Selangor dengan 38 tangkapan menerusi 36 serbuan yang dijalankan diikuti Johor (29); Pulau Pinang (18); Sarawak (15) dan Kedah (12).

"Selain itu, Negeri Sembilan (11); Kuala Lumpur (7); Sabah (6); Pahang (6); Melaka (4); Perak (3) dan Kelantan dua tangkapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, fokus utama Op Soga IX adalah untuk membanteras kegiatan catit taruh tanpa lesen yang sah sepanjang Piala Dunia Qatar 2022.

"Ia juga bertujuan menghapuskan sindiket dan individu yang bertindak sebagai bookie atau punter.

"Semua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 6(3); Seksyen 6(1); Seksyen 4(1)(D) dan Sekyen 4(1) Akta Pertaruhan 1963," katanya.

Noorsiah berkata, polis akan mengambil tindakan tegas kepada individu atau penganjur yang menjalankan pertaruhan dalam usaha menangani kegiatan perjudian.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi laporan muka depan melaporkan, sindiket pertaruhan dan bookie bola sepak tempatan mengambil kesempatan 'demam' Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dengan menawarkan keuntungan pertaruhan mencecah RM1 juta bagi setiap perlawanan.

Berbanding kaedah konvensional, sindiket sindiket pertaruhan judi bola sepak kini semakin licik apabila menggunakan sepenuhnya medium dalam talian dan berpuluh laman web berpangkalan di Hong Kong bagi berurusan dengan pelanggan.

Malah lebih berani apabila sindiket turut mengiklankan operasi mereka di media sosial dengan menawarkan hadiah wang lumayan menjangkau sehingga 50 kali ganda modal pertaruhan,

Melalui pendekatan terbaru ini, khidmat ejen bookie 'kedai' atau 'punter' bergerak yang mengumpulkan wang pertaruhan dari kaki judi tidak lagi dianggap efisien dan selamat.

Siasatan wartawan Harian Metro mendapati, pelbagai laman web diwujudkan sindiket semata-mata bagi menarik perhatian kaki judi mencuba nasib melalui pertaruhan harian pertandingan bola sepak antarabangsa itu.

Semakan mendapati semua transaksi pertaruhan membabitkan urusan perbankan dalam talian, pindahan wang e-wallet dan menambah nilai prepaid telefon pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 5:23 PM