Mohd Amin Jalil

Seremban: Kasih yang tiada penghujung. Itulah pengorbanan dilakukan seorang wanita yang sanggup mengorbankan masa depannya demi menjaga dua kakak serta seorang abang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Nor Hasnah Mohd Isa, 59, yang juga bekas pekerja sebuah kilang di Senawang, di sini, cekal menjaga dua kakaknya, Sharipah, 67, dan Noorsham, 64 serta abangnya, Mohd Ghazali, 62, walaupun terpaksa menempuh dugaan itu.

Tugas mencabar itu digalas Nor Hasnah selepas kematian bapa dan ibunya.

Nor Hasnah berkata, dua lagi adik beradiknya meninggal dunia beberapa tahun lalu menyebabkan tugas menjaga kakak dan abang kandungnya ditanggungnya sendirian.

"Dulu saya bekerja di sebuah kilang di Senawang tetapi terpaksa berhenti sejak 2014 selepas bapa meninggal pada 1999 dan diikuti ibu pada 2014.

"Tanggungjawab menjaga dua kakak dan abang yang menghidap penyakit mental selain kanser payu dara yang dialami Sharipah, yang mula dikesan sejak remaja, terpaksa saya tanggung sepenuhnya.

"Walaupun serba kekurangan, demi amanah dan tanggungjawab untuk keluarga, saya hadapi dugaan ini demi keutuhan tali persaudaraan keluarga," katanya.

Wanita itu ditemui selepas menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian sempena Aidiladha di rumah mereka di Kampung Belangkan Jalan Rantau di sini, hari ini.

Nor Hasnah berkata, perkahwinan bukan menjadi keutamaan sebaliknya menjaga saudara kandungnya sehingga akhir hayat lebih penting.

Menurutnya, dia bimbang akan nasib, masa depan dan keselamatan kakak serta abang kandungnya itu jika mendirikan rumah tangga dan berpindah dari situ.

"Saya hanya bimbang keadaan mereka jika sesuatu yang buruk berlaku kepada saya kelak. Bagaimana nasib mereka jika saya tiada," katanya.

Ditanya mengenai cabaran dan dugaan dihadapi menjaga ketiga-tiga saudara kandungnya itu, Nor Hasnah akui banyak cabaran dihadapinya dan hanya Allah yang mengetahuinya.

NOR Hasnah (kiri) bersama tiga beradik kandungnya yang berstatus OKU ketika ditemui di Kampung Belangkan Jalan Rantau Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
NOR Hasnah (kiri) bersama tiga beradik kandungnya yang berstatus OKU ketika ditemui di Kampung Belangkan Jalan Rantau Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil

Katanya, dia akan tetap cekal dan tabah menjaga ketiga-tiga mereka sehingga akhir hayatnya demi kasih sayang dan persaudaraan.

"Saya akan jaga mereka sehingga ke akhir hayat dan sebab itu saya sering berdoa agar diberi kesihatan yang baik untuk memikul tugas berat ini kerana tidak mahu nasib kakak serta abang terabai," katanya.

Mengenai keperluan sara hidup harian keluarga, Nor Hasnah berkata mereka hanya bergantung bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan OKU bagi ketiga-tiga saudaranya itu.

"Ada ketikanya bil api dan air tertunggak, namun ada pihak yang bersimpati menghulurkan sumbangan dan dapatlah meringankan beban saya setiap bulan," katanya.

Terdahulu, Nor Hasnah dan keluarga dikunjungi Persatuan Amal Dan Kebajikan Al-Baasith Negeri Sembilan (Al-Baasith NS) yang menyampaikan bantuan sempena sambutan Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 5:42 PM