ANIZAL Zurina Zainal di sisi suami dan dua anak di rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Jasmin, Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
ANIZAL Zurina Zainal di sisi suami dan dua anak di rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Jasmin, Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Suami mengalami pendarahan di kepala selepas terbabit kemalangan menyebabkannya jadi pelupa dan tidak boleh bekerja. Sejak itu, saya mencari rezeki untuk keperluan keluarga," kata Anizal Zurina Zainal.

Anizal Zurina, 45, yang juga ibu kepada dua anak itu berkata, dia perlu melakukannya walaupun pergerakannya terbatas akibat masalah obesiti.

Menurutnya, suaminya, Muhammad Radzi Ibrahim, 48, sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori pasir di sekitar daerah ini.

"Pada pertengahan 2012, suami terbabit dalam kemalangan jalan raya di Labu menyebabkan berlaku pendarahan di otak.

"Suami menghidap Hepatitis C dan kesan kemalangan itu, dia menjadi seorang yang pelupa selain ada kalanya berada dalam keadaan tidak stabil.

"Akibatnya, suami tidak berupaya bekerja malah saya juga bimbangkan keselamatannya jika dia dibenarkan keluar rumah atau bekerja," katanya ditemui di rumah sewa mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Jasmin, Senawang di sini, hari ini.

Menurut Anizal Zurina, bagi menampung keperluannya dan suami selain anak, Nur Aisyah Suraya Muhammad Radzi, 16 dan Nur Ainul Aqilla Abd Razak, 4, dia menjaja kuih donat dan karipap sejuk beku di sekitar flet berkenaan.

Katanya, dia memperoleh pendapatan sekitar RM15 sehari namun ia berkurangan sejak Covid-19 melanda negara.

"Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, jualan kuih merosot lebih 50 peratus. Ada kalanya, dapatlah RM8 sehari, tempahan kuih pun jauh berkurangan.

"Ia menyebabkan saya tidak mampu membayar sewa rumah RM124 sebulan malah sudah tertunggak RM3,868," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Anizal Zurina di talian 017-6565028.

Anizal Zurina berkata, dia juga perlu menyediakan kos pengangkutan bagi rawatan suaminya di Hospital Sungai Buloh, Selangor sekurang-kurangnya sekali sebulan selain perbelanjaan persekolahan Nur Aisyah Suraya.

Katanya yang menyewa di rumah itu sejak 10 tahun lalu, ketika ini, mereka menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM375 sebulan dan bantuan bulanan RM250 daripada Baitulmal.

"Ketika ini, sumber pendapatan utama keluarga hanyalah daripada jualan kuih. Memang rasa terkesan sangat namun itu kemampuan yang ada pada saya.

"Saya juga sukar untuk bergerak jauh bagi memasarkan kuih kerana keadaan berat badan selain sukar untuk menunggang motosikal," katanya yang turut menghidap darah tinggi serta diabetes.

Menurut Anizal Zurina, baru-baru ini, Persatuan Amal dan Kebajikan Negeri Sembilan (Al-Baasith NS) tampil menghulurkan sumbangan berupa pek makanan asas serta wang RM500.

"Kami berterima kasih kepada Al-Baasith NS yang prihatin dan sudi membantu.

"Bantuan itu membantu meringankan beban saya dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama untuk keperluan dua anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 5:19 PM