Mohd Rosman menyerahkan Sijil Perhargaan 'HERO' APM kepada Aswadi. FOTO IHSAN APM
Mohd Rosman menyerahkan Sijil Perhargaan 'HERO' APM kepada Aswadi. FOTO IHSAN APM
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Walaupun api sedang marak, saya tidak berfikir panjang dan terus menyelamatkan pak cik itu," kata Aswadi Sidek.

Aswadi, 40, antara tiga penduduk yang menerima Sijil Penghargaan 'HERO' Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana menyelamat seorang warga emas ketika kejadian kebakaran di Kampung Losong, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi Isnin lalu, warga emas, Fatimah Mohd, 79, maut, manakala suaminya Jusoh Muda, 82, melecur dalam kebakaran membabitkan tiga rumah.

Fatimah yang mengalami masalah pinggang dan bergerak dengan bantuan kerusi roda terperangkap, manakala Jusoh terselamat berikutan ketika kejadian, dia dikatakan berada di luar rumah di Kampung Losong Haji Su.

Jusoh kemudian menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana melecur teruk dan meninggal dunia dua hari selepas kejadian.

Katanya, dia juga cedera ringan dan melecur pada bahagian tangan kerana terkena api yang membakar separuh badan Jusoh ketika memeluk warga emas itu.

"Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum ternampak gumpalan asap tebal.

"Saya terus ke tempat kejadian dan terkejut apabila mendapati api marak memusnahkan sebuah rumah.

"Seorang warga emas dilihat cuba keluar daripada pintu rumah itu dalam keadaan sudah melecur membuatkan saya bergegas menyelamatkannya," katanya.

Tambahnya, tindakannya itu spontan dan di luar kawalan saat melihat seorang warga emas melecur dan meminta pertolongan.

"Jika diikutkan pada waktu itu memang bahaya dan berisiko. tetapi kerana simpati, saya tetap menyelamatkannya.

"Pak cik itu berulang kali memberitahu saya mengenai isterinya yang masih terperangkap di dalam rumah.

"Namun, pada ketika itu, saya tidak boleh buat apa-apa kerana api sudah marak membakar rumah itu," katanya yang juga Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kuala Terengganu.

Dia masih bersedih dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan isteri Jusoh.

"Saya berasa bersalah kerana tidak menyelamatkan arwah Fatimah dan sempat meminta maaf kepada Jusoh kerana tidak mampu menyelamatkan isterinya dan dia memahami situasi ketika itu.

"Walaupun kedua-duanya meninggal dunia kerana tragedi itu, namun ahli keluarganya datang berjumpa saya dan mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan," katanya.

Turut menerima sijil penghargaan sama daripada APM ialah Amer Hasheimi Wan Aimidbaidi, 30 dan Wan Ahmad Samhari Wan Mohd, 41, yang turut sama membantu Aswadi menyelamatkan Jusoh.

Sijil Perhargaan 'HERO' APM itu disampaikan oleh Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 3:41 PM