Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan akan membekalkan vaksin CanSino kepada Kelantan dan kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan dijangka menerima bekalan vaksin berkenaan pada Julai ini.

Menurutnya, berapa banyak dos yang bakal diterima akan diumumkan secara rasmi selepas ini.

"Untuk vaksin CanSino, ia hanya membabitkan satu suntikan dos sahaja. Kita akan hantar kepada Kelantan dan kawasan pendalaman terutama Orang Asli di Gua Musang.

"Vaksin itu bersesuaian kerana petugas tidak perlu masuk ke kawasan Orang Asli dua kali untuk tujuan suntikan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Peringkat Negeri Kelantan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dua jenis vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu suntikan dos, masing-masing buatan CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) diberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kelulusan itu dicapai melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kali-359 hari ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan dibuka secara 'walk in' selepas kesemua individu yang berdaftar selesai menerima vaksin.

Menurutnya, kerajaan menjangkakan proses suntikan vaksin dapat diselesaikan akhir tahun ini atau lebih awal.

"Untuk peringkat keseluruhan, kita yakin selepas selesai suntikan vaksin kepada mereka yang berdaftar, kita akan buka secara 'walk-in' di semua PPV," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 2:27 PM