Mohamed Farid Noh

[email protected],my

Johor Bahru: Suami yang disyaki terbabit memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian 4 Mei lalu, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, pagi ini.

Peniaga pakaian berusia 38 tahun itu yang tiba kira-kira 9 pagi tadi itu, tiba dengan trak polis serta diiring ketat oleh polis.

Suspek yang memakai jaket kelabu dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan serta Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Minggu lalu, media melaporkan suspek utama yang disyaki terbabit dalam kejadian pukul hingga parah isterinya yang hamil itu direman selama enam hari bermula Sabtu lalu sehingga hari ini.

Suspek ditahan di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur, kira-kira 11 pagi, Jumaat lalu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di Johor terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, selepas dipercayai dibelasah suaminya sendiri, pada 4 Mei lalu.

Mangsa yang berusia 43 tahun yang sedang hamil empat minggu ketika kejadian, dilaporkan kritikal apabila parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak.

SUSPEK yang disyaki terbabit memukul isterinya yang hamil sehingga koma hadir ke mahkamah di Perkarangan Mahkamah Johor Bahru jam 9 pagi hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUSPEK yang disyaki terbabit memukul isterinya yang hamil sehingga koma hadir ke mahkamah di Perkarangan Mahkamah Johor Bahru jam 9 pagi hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Mangsa yang tidak sedarkan diri dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban atas permintaan keluarga selain nasihat daripada pihak HSA.

Pada 18 Mei lalu, polis mengedarkan gambar suspek bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan suspek selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 9:43 AM