Jahidah Nordin (kanan) sebelum insiden dipukul suami. Rosmaini (kiri). FOTO  Ihsan Fazariah Nordin, PDRM
Jahidah Nordin (kanan) sebelum insiden dipukul suami. Rosmaini (kiri). FOTO Ihsan Fazariah Nordin, PDRM
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya berharap polis dapat mengesan segera lelaki itu secepat mungkin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya terhadap kakak saya," kata Fazariah Nordin, adik kepada Jahidah Nordin, 43, yang bertarung nyawa selepas parah disyaki dipukul suaminya, 4 Mei lalu.

Ketika ini, Jahidah masih dirawat di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor sejak seminggu lalu.

Fazariah, 38, berkata, tidak banyak perubahan kesihatan kakak sulungnya daripada tujuh beradik itu kerana masih tidak sedarkan diri.

"Kakak masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan belum boleh buka mata serta berkomunikasi dengan orang lain.

"Pagi ini, saya dimaklumkan oleh ahli keluarga yang menjaganya di HTJ, mengatakan alat bantuan pernafasan perlu dipasangkan semula bagi membantu dirinya.

"Memang kecederaan dialami daripada insiden itu amat serius," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau yang menetap di Melaka berkata, pihaknya tidak dapat menjangkakan berapa lama tempoh Jahidah perlu berada di HTJ dan mendapatkan rawatan kerana setakat ini belum menunjukkan perubahan dari segi kesihatannya.

Menurutnya, kecederaan yang dialami serius kerana ia membabitkan bahagian kepala hingga berlaku pendarahan di bahagian otak selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak.

Katanya, sejak berada di HTJ, bapanya belum berkesempatan melihat mangsa susulan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.

"Kami sekeluarga akan terus berdoa kakak pulih seperti sediakala," katanya.

Dalam kejadian 4 Mei lalu, mangsa yang hamil empat minggu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya berusia 38 tahun.

Sebelum ini mangsa yang tidak sedarkan diri menerima rawatan di HSA namun dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak HSA.

Dalam laporan media kelmarin, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menegaskan polis sedang giat mengesan lelaki dikenali sebagai Rosmaini Abd Raof, 38, yang juga suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Ayob Khan berkata, pihaknya belum dapat menahan lelaki berkenaan namun risikan dibuat mendapati suspek dipercayai berada di Shah Alam atau Alor Setar.

"Kita akan menggiatkan risikan dan membuat serbuan jika mendapat petunjuk baharu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Terkejut kakak hampir maut dibelasah
  • Di mana Rosmaini?
  • Pukul isteri hamil hingga koma, polis cari Rosmaini
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 2:47 PM