GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kes demam denggi mencatatkan tren penurunan sebanyak 75 peratus dengan jumlah kematian merekodkan pengurangan 91 peratus pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 12,188 kes demam denggi dan lapan kematian akibat komplikasi (demam denggi) direkodkan bermula Januari tahun ini hingga 12 Jun lalu berbanding 48,584 kes demam denggi dengan 84 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu segenap lapisan masyarakat berusaha membendung dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes secara konsisten dan tanpa kompromi.

Katanya, langkah itu selari dengan slogan '10 Minit Hapuskan Aedes' yang dipilih sebagai tema untuk Sambutan Hari Denggi Asean peringkat Kebangsaan tahun ini.

"Tema itu menekankan komitmen dan kerjasama padu daripada semua pihak termasuk masyarakat, agensi kerajaan mahupun swasta dalam meneruskan usaha membanteras demam denggi.

"Mesej yang ingin disampaikan adalah mengajak masyarakat meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan Aedes di premis masing-masing pada setiap minggu.

"Ini kerana sebahagian besar waktu individu dan masyarakat diluangkan di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka kesempatan ini perlu diambil untuk memastikan premis bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Denggi Asean 2021, hari ini.

Dr Adham berkata, usaha pencegahan denggi turut diperkasakan melalui pembabitan pasukan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di seluruh negara.

Menurutnya, peranan sukarelawan Combi adalah menjalankan aktiviti promosi pencegahan denggi melalui pendekatan norma baharu seperti media sosial.

"Sehingga 31 Mei lalu, terdapat sebanyak 3,084 pasukan Combi dengan penyertaan seramai 28,381 sukarelawan terdiri komuniti di seluruh negara.

"Harapan saya adalah usaha ini diteruskan demi memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati tahap kehidupan yang berkualiti dan bebas daripada bahaya ancaman demam denggi," katanya.

Hari Denggi Asean disambut pada 15 Jun setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 2:15 PM